[VIDEO] Bekas MPKK tak mengaku terima rasuah RM10,000

A
A
A

SEREMBAN - Seorang bekas Pengerusi Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dua pertuduhan menerima suapan RM10,000 daripada seorang kontraktor sebagai balasan bagi mendapatkan kerja pembaikan fasiliti, empat tahun lalu.

Tertuduh, Baharuddin Mian, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh secara rasuah didakwa menerima suapan iaitu cek bank bernilai keseluruhan RM10,000 daripada lelaki iaitu seorang kontraktor.

Ia didakwa sebagai dorongan bagi mendapatkan kerja pembaikan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Surau Kampung Gelam serta kerja naik taraf Balai Raya Kampung Air Meleleh dan longkang Taman Bukit Tuan Sheikh masing-masing di Port Dickson.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 7 dan 13 Oktober 2020 di sebuah cawangan bank di Port Dickson.

Baharuddin (kanan) ketika hadir di mahkamah.
Baharuddin (kanan) ketika hadir di mahkamah.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohammad menawarkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan satu syarat tambahan.

Peguam, Aswawi Ismail memohon mahkamah menetapkan wang jaminan paling minimum terhadap anak guamnya kerana warga emas itu kini hanya bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan sekitar RM750 sebulan.

Katanya, tertuduh juga menanggung empat anak, isteri dan ibu yang sudah berusia.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri pada Sabtu pertama setiap bulan di Pejabat SPRM Port Dickson.

Sebutan semula bagi serahan dokumen pada 27 Jun depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!