Jemaah muda jadikan tanah suci 'lubuk' cari pahala

Gambar hiasan. Foto Bernama
Gambar hiasan. Foto Bernama
A
A
A

MAKKAH - Menggunakan wang simpanan bagi menampung perbelanjaan perkahwinannya kira-kira lapan bulan lepas, seorang jemaah haji muda bersyukur kerana sempat mengumpulkan wang bagi menunaikan haji musim 1445H/2024 ini.

Muhammad Rabbani Roslan, 27, berkata, timbul kerisauan wang yang ada tidak mencukupi sekiranya dia menerima tawaran menunaikan haji.

"Namun, di saat terakhir, ALLAH datangkan rezeki, alhamdulillah duit cukup dan dapat terus bayar selepas rayuan mahram berjaya," katanya yang bekerja sebagai jurutera teknologi maklumat di sebuah jabatan kerajaan.

Menurutnya, peluang menunaikan haji pada usia muda akan digunakan sebaiknya termasuk membantu jemaah lain yang memerlukan bantuan.

"Bagi saya, orang muda pun perlu jaga kesihatan, mungkin ada hikmah dengan usia muda ini kita boleh bantu lebih ramai orang,” katanya.

Pasangannya, Nur Izzati Thafiqah Samsol Bahari, 25, berkata dia menerima tawaran kali pertama menunaikan ibadah haji ketika pandemik Covid-19, diikuti tawaran kedua pada 2022.

"Tetapi saya minta tangguh kerana kami hendak berkahwin pada tahun lepas. Alhamdulillah disebabkan itu, rezeki saya dapat pergi berdua ke Tanah Suci dengan suami apabila dapat buat rayuan mahram,” katanya.

Sementara itu, tiga beradik Muhammad Adam Aiman, 21, Mohd Edrisn Al-Fateh, 17, dan Muhammad Nouh Ebdansyakur, 15, dari Kelantan bersyukur kerana dapat menjadi Duyufurrahman dalam usia muda.

Artikel Berkaitan:

Walaupun tanpa kelibat kedua orang tua mereka, tiga beradik itu pandai menjaga diri dan sentiasa berpegang kepada pesanan ibu bapa agar ringan tulang membantu jemaah yang lebih berusia seperti menolak kerusi roda untuk ke masjid.

"Mama papa ada pesan supaya selalu bantu orang tua apabila tunai haji," kata Muhammad Adam yang juga penuntut Universiti Malaysia Pahang.

Disebabkan itu katanya, mereka bertiga memilih untuk menyertai Sahabat Maktab, salah satu inisiatif bagi membantu jemaah yang lain.

Selain dapat membantu jemaah dengan kudrat muda yang ada, katanya, mereka juga dapat mengeratkan silaturahim dengan jemaah lain selain mengumpul lebih banyak pahala. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!