KPM kenal pasti calon SPM tercicir, beri peluang duduki peperiksaan ulangan

Laporan Sinar Harian (kiri) dan Fadhlina
Laporan Sinar Harian (kiri) dan Fadhlina
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengenal pasti calon yang tercicir atau tidak hadir sewaktu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 untuk memberi peluang kepada mereka mendaftar bagi peperiksaan ulangan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, walaupun kehadiran calon menduduki peperiksaan mencatatkan 373,525 orang iaitu 97.4 peratus, namun pihaknya tetap mengambil perhatian berkenaan pelajar yang tercicir.

"Jumlah calon tidak menduduki peperiksaan berjaya dikurangkan sebanyak 1.2 peratus berbanding 2022 dan pencapaian ini adalah hasil intervensi yang dilaksanakan di setiap peringkat melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak sekolah.

"Begitupun, KPM tetap mengambil perhatian berkenaan calon yang tercicir atau tidak hadir peperiksaan SPM 2023 dengan melakukan pengesanan pelajar tercicir dan memberi peluang kepada mereka untuk mendaftar bagi menduduki peperiksaan secara ulangan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, seramai 11,713 daripada 373,525 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 memperoleh keputusan cemerlang gred A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Menurutnya, secara keseluruhan pencapaian calon SPM tahun lalu lebih baik apabila merekodkan Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 4.60 berbanding 4.74 pada tahun sebelumnya.

Mengulas lanjut Azman berkata, nilai GPN lebih kecil menunjukkan pencapaian calon lebih baik dan sebanyak 226,358 calon atau 60.6 peratus daripada 373,525 calon baharu telah lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran yang diduduki.

Ujar beliau, sebanyak 66 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi, 25 mata pelajaran menurun dan empat menunjukkan prestasi kekal.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Fadhlina turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua calon peperiksaan, guru dan seluruh warga KPM yang berusaha keras bagi memastikan peningkatan prestasi secara keseluruhan.

Tambah beliau, KPM optimis keputusan membanggakan SPM 2023 adalah pemangkin dalam usaha berterusan mereformasikan pendidikan negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!