[VIDEO] Kilang haram diserbu lagi, MB beri amaran kepada ketua jabatan

A
A
A

SEREMBAN - Berpuluh-puluh tan komponen barangan elektrik dan elektronik, logam serta plastik ditemui di dua kilang yang menjalankan aktiviti peleburan kitar semula secara haram di Kuala Sawah, Rantau dekat sini pada Isnin.

Lokasi premis berkenaan yang agak tersorok dan dilengkapi kamera litar tertutup(CCTV) itu terletak kira-kira 500 meter dari Sungai Linggi dan Loji Rawatan Air Linggi.

Ia dikesan dalam operasi bersepadu Op Toksik 3 yang melibatkan 90 anggota daripada pelbagai agensi.

Aminuddin(lima dari kiri) melihat sisa barangan elektrik dan elektronik di sebuah kilang yang diserbu
Aminuddin(lima dari kiri) melihat sisa barangan elektrik dan elektronik di sebuah kilang yang diserbu

Apa yang membimbangkan, pemeriksaan mendapati terdapat kesan pencemaran air hasil limpahan sisa bahan kitar semula di sekitar kawasan premis memandangkan keadaan barangan terbabit yang diletakkan secara terdedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang turut turun padang nyata kesal apabila premis terbabit didapati telah pun beroperasi sejak tiga tahun lalu, tanpa diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Kecewa dengan keadaan itu, beliau dengan serta merta mengarahkan ketua jabatan bertanggungjawab agar mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pegawai yang menjaga kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Aminuddin (tengah) melihat dokumen operasi sebuah lori
Aminuddin (tengah) melihat dokumen operasi sebuah lori

"Kenapa bangunan ini siap tanpa ada tindakan daripada pihak berwajib, seolah-olah macam tak berlaku apa-apa selama ini, selesa dalam keadaan yang ada walaupun mereka (pemilik premis) langgar peraturan.

Aminuddin (dua dari kiri) meninjau lokasi serbuan pada Isnin
Aminuddin (dua dari kiri) meninjau lokasi serbuan pada Isnin



"Oleh sebab itu, saya harap penjawat awam yang terlibat menjaga kawasan ini, dikeluarkan surat tunjuk sebab mengapa ini berlaku," katanya.

Tegasnya, sekiranya ketua jabatan tidak bertindak, pihaknya akan mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk berbuat demikian.

Berpuluh-puluh tan sisa buangan berjadual ditemui di dua kilang di Kuala Sawah, Rantau
Berpuluh-puluh tan sisa buangan berjadual ditemui di dua kilang di Kuala Sawah, Rantau

Aminuddin dengan nada kecewa turut berharap penemuan seumpama itu tidak ada lagi di Negeri Sembilan kerana ia boleh memberi kemudaratan kepada masyarakat.

Beliau turut memberi amaran kepada semua ketua jabatan agar tidak mengambil mudah soal sesuatu prosedur yang digariskan dan sentiasa melakukan penguatkuasaan.

"Sisa air yang tercemar hasil aktiviti haram dilakukan didapati dilepaskan terus masuk ke aliran Sungai Linggi dan mencemari sumber air sungai tersebut yang merupakan sumber tadahan air kepada penduduk di Port Dickson dan sebahagiannya di Seremban.

"Kedua-dua premis melakukan sembilan kesalahan utama, antaranya gagal mengemukakan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi sisa buangan dan menjalankan aktiviti pelupusan secara haram di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

"Kesalahan lain adalah melanggar syarat nyata tanah di bawah Kanun Tanah Negara. Empat kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil Tred dan Perlesenan serta Akta Jalan Parit dan Bangunan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!