Penjawat awam perlu kuasai teknik, cabaran penerbitan podcast

Koordinator Latihan Kluster Kumpulan Industri Kreatif (KIK), Rosli Mohd Nordin (tengah) bersama para peserta Kursus Penerbitan Podcast anjuran Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).
Koordinator Latihan Kluster Kumpulan Industri Kreatif (KIK), Rosli Mohd Nordin (tengah) bersama para peserta Kursus Penerbitan Podcast anjuran Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menyedari keterujaan dan gaya penerbitan program berbentuk bual bicara secara online semakin mendapat perhatian umum dan trending, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) mengambil langkah proaktif dengan menjayakan Kursus Penerbitan Podcast baru-baru ini.

Koordinator Latihan Kluster Kumpulan Industri Kreatif (KIK), Rosli Mohd Nordin berkata, kursus penerbitan podcast tidak pernah lagi dianjurkan oleh institut berkenaan sebelum ini.

“Penganjuran kursus ini adalah selaras dengan usaha dan menyahut seruan kerajaan untuk measimilasikan budaya penghasilan kandungan di pelantar media sosial (digital). Ia dapat memberi banyak manfaat kepada penjawat awam dan khalayak umum.

“Objektif utama kami ialah agar para peserta dapat menguasai kaedah penerbitan podcast daripada pelbagai aspek pra-produksi, produksi dan pasca produksi agar mereka dapat mengaplikasi pelbagai input penerbitan yang “trending”, terkini dan mengikut keperluan semasa.

Saya juga melihat kursus ini juga bakal menjadi tanda aras (benchmark) bagi kursus atau latihan yang seumpamanya agar warga IPPTAR lebih versatil dan bersedia dalam pelbagai kemungkinan dalam aspek penerbitan,” terang Rosli yang sering dijemput oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta sebagai tenaga pengajar serta panel.

WAN ALIAZAR
WAN ALIAZAR

Menurut Wan Aliazar Wan Halim yang merupakan salah seorang tenaga pengajar atau panel latihan bagi Kursus Penerbitan Podcast ini, penerbitan sesebuah program atas talian atau maya tetap memerlukan perancangan rapi dan persediaan teknikal yang mantap.

“Objektif penerbitan sesebuah program tetap melalui tiga peringkat yang sama iaitu pra-produksi, produksi dan pasca produksi. Sebagai tenaga pengajar bagi kursus ini, saya perlu mengetengahkan maklumat berkaitan industri penyiaran dan penerbitan yang lebih tepat, dapat meningkatkan keterlihatan (visibility) dan kebolehlaksanaan (feasibility).

Artikel Berkaitan:

“Selain itu saya sering mengingatkan para peserta agar sentiasa merujuk kertas kerja penerbitan sesebuah podcast agar objektif penerbitan tidak lari dari matlamat asal,” ujarNYA yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun sebagai pengacara, penyelidik dan penulis skrip pelbagai program televisyen.

ROSNANI
ROSNANI

Bagi Rosnani Nasir pula, beliau mendedahkan para peserta mengenai pentingnya membuat kajian tentang tajuk dan topik bagi setiap episod, Running Order (RO) program yang sistematik, dokumentasi dan fokus dalam aspek-aspek teknikal yang dapat membantu pasukan produksi menjalankan penggambaran dengan lebih efisien.

“Melahirkan individu atau pasukan penerbitan yang berwibawa dalam kerja-kerja produksi (penerbitan) bukanlah semudah memetik jari sahaja dan semuanya telah tersedia. Persiapan rapi seperti kemahiran setiap individu mengenai kerja-kerja penggambaran perlu diambil kira.

“Selain itu, peralatan yang digunakan memainkan peranan yang amat penting untuk memastikan sesi penggambaran sama ada berbentuk rakaman atau disiarkan secara langsung (live) mempunyai standard atau kualiti penyiaran antarabangsa.

“Mungkin bagi sesetengah orang, untuk menerbitkan program podcast adalah sangat mudah kerana mereka tidak mengambil kira pelbagai aspek penting dalam setiap proses penerbitan daripada aspek pra-produksi, produksi dan pasca produksi,” katanya.

AZRUL AZIZI
AZRUL AZIZI

Silibus kursus yang ditawarkan oleh IPPTAR ini amat bersesuaian dengan keperluan setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan untuk melahirkan penjawat awam yang profesional dan berkredibiliti bagi menerbitkan program podcast mengikut keperluan masing-masing.

"Kursus ini dapat meningkatkan pengetahuan berkaitan aspek produksi dari idea hingga ke pelantar media sosial dan dapat meningkatkan kemahiran teori dan praktikal bagi penerbitan podcast,” jelas Azrul Azizi Aziz yang diberi peranan sebagai pengajar bagi mendedahkan aspek teknikal dalam kursus berkenaan.

Bagi salah seorang peserta Kursus Penerbitan Podcast ini, Diyana Elmin menyatakan keterujaan beliau untuk menerbitkan podcast sendiri di bawah Unit Media Baharu (Berita) RTM suatu hari nanti.

DIYANA
DIYANA

“Kita tidak boleh memandang sebelah mata dengan menyatakan menerbitkan podcast adalah mudah. Selama dua hari kursus ini dianjurkan pelbagai persiapan rapi perlu dibuat agar pelbagai isu penerbitan dapat diminimumkan,” terang Diyana.

“Selain pendedahan teknik penerbitan, kami juga berbincang dengan mengemukakan 13 tajuk dan topik bagi penerbitan Podcast IPPTAR yang merupakan salah satu tujuan penganjuran kursus ini.

MOHD RUZAINI
MOHD RUZAINI

"Tajuk dan pengisian episod Podcast IPPTAR melibatkan perbincangan di antara pengacara dengan seorang tetamu mengenai topik dan isu semasa melibatkan industri kreatif, kewartawanan, sosio-ekonomi, budaya serta isu-isu trending dan terkini,” jelas Mohd Ruzaini Azri yang merupakan salah seorang peserta yang menghadiri kursus tersebut.