SPRM, TNB kerjasama banteras aktiviti bitcoin, berjaya selamat RM2 bilion

Azam bercakap pada sidang media selepas menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik di Malaysia pada Isnin. Foto Bernama
Azam bercakap pada sidang media selepas menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik di Malaysia pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM2 bilion hasil Tenaga Nasional Berhad (TNB) dapat diselamatkan menerusi kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Ops Power yang dilaksanakan dua tahun lepas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, menerusi kerjasama tersebut dapat membanteras operasi perlombongan bitcoin sekali gus menyelamatkan kerugian besar kepada TNB.

Menurutnya, agensi seperti TNB mempunyai kuasa terhad terutamanya daripada segi penguatkuasaan dalam mencegah jenayah terbabit dan SPRM sedia membantu perkara terbabit sehingga ke peringkat rampasan serta pertuduhan di mahkamah.

"Jenayah perlombongan bitcoin yang berleluasa sekitar dua tahun lepas dapat ditumpaskan apabila TNB sendiri menyalurkan maklumat kepada kita.

"Perlu ada tindakan bersama, contohnya kerjasama antara SPRM dan TNB ketika itu dinilaikan sejumlah RM2 bilion dan saya percaya kita sudah menyelamatkan hasil TNB sebanyak RM2 bilion," katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik Malaysia, di sini pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Datuk Abdul Razib Dawood dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Azam berkata, agensi besar tidak boleh bertindak secara bersendirian apabila membabitkan kerugian yang bernilai tinggi kerana akhirnya akan merugikan kerajaan dan tidak memberi manfaat kepada masyarakat negara.

Beliau berkata, kerjasama tersebut bukan sekadar bersama TNB tetapi SPRM turut menjalinkan usaha sama dengan pelbagai agensi lain seperti Jabatan Imigresen.

Artikel Berkaitan:

Dalam Ops Power membabitkan sindiket bitcoin pada awal tahun 2022, mendedahkan kecurian arus elektrik hasil daripada perlombongan bitcoin yang menyebabkan TNB kerugian sehingga RM2.3 bilion bagi tempoh 2018 hingga 2021.

Menerusi operasi itu, SPRM mengesan ada suspek menawarkan wang rasuah antara RM3,000 hingga RM300,000 kepada pekerja TNB dengan balasan supaya tidak mengambil sebarang tindakan dan membocorkan maklumat operasi TNB.

SPRM berjaya merampas RM2.37 juta membabitkan 998 premis bitcoin membekukan aset berjumlah RM4.47 juta milik 97 individu, 29 syarikat dan 126 akaun bank serta menyita 1,157 mesin bitcoin bernilai RM2.34 juta serta lima kereta mewah jenis BMW, Honda Accord, Toyota Vellfire, Ford Ranger dan Audi dirampas.- Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!