[VIDEO] Tunai haji hadiah teristimewa ibu, arwah ayah

A
A
A

MAKKAH - Pemergian ke Tanah Suci dianggap sebagai satu hadiah paling istimewa oleh jemaah haji, Norfarhanah Ahmad Shukri, 25, kerana ini adalah hasil usaha ibu dan Allahyarham ayahnya yang menabung sejak sekian lama walaupun mereka keluarga yang susah.

Norfarhanah yang turut menjadi Sahabat Maktab berkata, keluarganya hidup dengan keadaan serba kepayahan berikutan ayahnya hanya bekerja sebagai pemandu bas dan ibu tidak bekerja.

Tatkala di bangku sekolah, beliau hairan apabila tidak mampu menggunakan wang raya seperti kanak-kanak lain, namun apabila sudah dewasa, Norfarhanah sedar bahawa kesemua wang raya itu telah dimasukkan dalam akaun Tabung Haji (TH).

Guru tadika itu kini berasa bersyukur kerana hasil tabungan itu, beliau mampu menunaikan haji dalam usia yang muda tanpa mengeluarkan wang gaji walau sesen pun.

Norfarhanah berazam untuk menjadi Sahabat Maktab apabila menjejak kaki ke Tanah Suci.
Norfarhanah berazam untuk menjadi Sahabat Maktab apabila menjejak kaki ke Tanah Suci.

"Kami datang dari keluarga yang susah. Ayah hanya kerja sebagai pemandu bas dan mak seorang suri rumah, tetapi hasil daripada simpanan duit raya terutama yang diberi pak cik, mak cik dan saudara-mara, saya mampu menunaikan haji.

"Saya anggap inilah hadiah daripada mak, ayah dan saudara semua, saya tidak keluarkan duit apa-apa pun. Disebabkan kami orang yang susah, jadi pak cik, mak cik memang selalu bagi duit raya dalam jumlah yang tinggi dan mak terus masuk dalam akaun TH," katanya kepada petugas media di sini.

Norfarhana yang pernah menolak tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar ekoran masalah kewangan turut melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih atas pengorbanan ayahnya yang sentiasa bekerja keras menyara keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Ketika itu kami pun hidup dalam kesusahan, mak pernah tanya ayah cukup atau tidak wang untuk daftar haji untuk kami sekeluarga, tetapi ayah cakap ada, ALLAH bagi rezeki lebih untuk kesemua anaknya," katanya.

Norfarhanah mengalirkan air mata saat mengenangkan pengorbanan kedua ibu bapanya.
Norfarhanah mengalirkan air mata saat mengenangkan pengorbanan kedua ibu bapanya.

Paling menyedihkan, bekas pelajar Maahad Tahfiz Johor itu apabila ayahnya meninggal dunia 2018, ketika berusia 56 tahun akibat sakit jantung sebelum sempat menunaikan haji.

“Pada tahun yang sama juga, kami sekeluarga dapat tawaran mengerjakan haji kecuali saya kerana usia yang masih terlalu muda ketika itu,” katanya.

Menurutnya, apabila sampai ke Madinah baru-baru ini, perkara yang pertama yang dilakukan adalah sujud syukur dan walaupun berseorangan menunaikan rukun Islam kelima itu, beliau yakin ALLAH dan TH akan sentiasa membantunya.

"Saya sentiasa ingat pesanan mak, sepanjang di sini jaga solat, istiqamah dan yang penting bantu jemaah-jemaah dan anggap mereka seperti mak ayah sendiri. Sebab itu di sini memang saya panggil jemaah wanita, ummi, mak, mama dan juga ibu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!