Polis cari saksi kes pemain bola sepak maut dilanggar lari

Motosikal mangsa ditemui berhampiran mayat mangsa dipercayai dilanggar sebuah kereta yang tidak pasti nombor pendaftarannya, semalam.
Motosikal mangsa ditemui berhampiran mayat mangsa dipercayai dilanggar sebuah kereta yang tidak pasti nombor pendaftarannya, semalam.
A
A
A

IPOH - Polis sedang mengesan saksi langgar lari yang mengorbankan pemain pasukan bola sepak Piala Belia Perak di Jalan Kuala Kangsar dekat Chemor di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa, Muhammad Izzat Shah Ibrahim,18, yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai dilanggar sebuah kereta.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dalam satu kenyataan berkata, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari arah Chemor menuju ke Klebang.

“Ketika tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa terbabas dilanggar sebuah kenderaan yang tidak pasti nombor pendaftarannya. Akibatnya mangsa tercampak di atas jalan dan disahkan maut. Motosikal mangsa berada pada jarak kira-kira 40 meter dari mayat mangsa,” katanya.

Katanya, mayat kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Izarrie Shafie menerusi talian 013-4138899.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melalui Facebooknya merakam ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Artikel Berkaitan: