Tindakan dua wanita langkah kubur dirujuk kepada Jakim, mufti

Dr Zulkifli Hasan (Laporan Sinar Harian)
Dr Zulkifli Hasan (Laporan Sinar Harian)
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan dua wanita melangkah kubur yang tular di media sosial akan dirujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Mufti.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, ini kerana perkara itu berhubung kait dengan aspek hukum selain bagi meredakan perselisihan faham yang berlaku dalam kalangan masyarakat.

"Sekiranya masyarakat merujuk pihak agensi agama sebelum membuat apa-apa tindakan yang membabitkan sensitiviti agama, pihak jabatan akan terus memberi nasihat dan panduan kepada mereka untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

"Pencipta kandungan diingatkan agar menjaga keharmonian agama untuk memastikan bahan kandungan yang dimuat naik di media sosial adalah berdasarkan nas yang sahih dan amalan yang dibenarkan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Bicara Eksklusif Bersama Penjawat Awam Persekutuan Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di sini hari ini.

Semalam, tular video berdurasi 37 saat memaparkan tindakan dua wanita melangkah kubur sehingga mengundang kemarahan netizen yang menyifatkan perbuatan itu melampaui batas dan tidak menghormati agama serta waris si mati. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: