Hasrat Pas tanding kerusi Bersatu akan dibawa ke mesyuarat PN

Laporan Sinar Harian. Ronald Kiandee (kanan).
Laporan Sinar Harian. Ronald Kiandee (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Hasrat Pas untuk meletakkan calon di tujuh kerusi milik wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyatakan sokongan kepada kerajaan akan dibincangkan dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Tertinggi PN, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, mesyuarat tersebut akan diadakan dalam masa terdekat.

“Tidak salah bagi mana-mana pihak untuk menyatakan hasrat. Namun ia akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi PN.

“Dari segi kelazimannya kita berpegang kepada prinsip (keutamaan pencalonan diberikan kepada parti) penyandang kerusi,” katanya kepada Sinar Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Pas pada Jumaat dilaporkan bersedia meletakkan calon bagi enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya berlaku pilihan raya kecil (PRK) melibatkan kerusi Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kerajaan.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, bagaimanapun sebarang keputusan rasmi bergantung kepada parti.

Enam ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Turut mengisytiharkan sokongan sama ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari pula menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ronald yang juga Naib Presiden Bersatu menegaskan, penentuan calon bagi tujuh kerusi terbabit akan dibincangkan secara terperinci mengambil kira pelbagai sudut.

“Walaupun secara umumnya kita ada prinsip yang kita pegang tetapi itupun tertakluk kepada perbincangan yang akan diadakan,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!