'Rupa-rupanya sepupu sendiri yang kemalangan'

Mohd Fahimi dan isterinya, Nor Aserah meninggal dunia dalam nahas tiga kenderaan di WCE, Taiping. Gambar kanan: Normahlina
Mohd Fahimi dan isterinya, Nor Aserah meninggal dunia dalam nahas tiga kenderaan di WCE, Taiping. Gambar kanan: Normahlina
A
A
A

TAIPING - Seorang jururawat tidak menyangka tugasan merawat mangsa kemalangan di Kilometer 262.5, Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara dekat Changkat Jering pada Jumaat, rupa-rupanya melibatkan sepupu sendiri.

Normahlina Mohd Nor, 45, yang bertugas di Klinik Kesihatan Ayer Tawar menerima panggilan yang memaklumkan terdapat kemalangan jalan raya melibatkan sembilan mangsa.

"Setibanya di lokasi, saya dapatkan tiga kanak-kanak yang sudah dibawa keluar dan memberi rawatan awal berikutan keadaan mereka yang cedera parah.

"Bapa mangsa pula tersepit dalam kereta dan dia masih bernafas ketika pasukan bomba berusaha mengeluarkannya, manakala isterinya sudah pun meninggal dunia.

"Bagaimanapun lokasi kejadian sangat gelap, saya masih tidak dapat cam lagi yang pemandu kereta (Mohd Fahimi Shaffie) adalah sepupu yang paling rapat sejak kecil lagi," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Taiping di sini pada Sabtu.

Kereta Perodua Bezza yang dinaiki pasangan suami isteri remuk selepas terbabit kemalangan jalan raya di WCE dekat Trong, Taiping malam tadi.
Kereta Perodua Bezza yang dinaiki pasangan suami isteri remuk selepas terbabit kemalangan jalan raya di WCE dekat Trong, Taiping malam tadi.

Menurut Normahlina, dia berasa terkilan tidak mendapatkan sepupunya itu terlebih dahulu untuk memberi rawatan awal.

"Saya sedar sebaik tiba di Unit Kecemasan Hospital Taiping apabila ditegur ibu saudaranya. Rupa-rupanya sepanjang perjalanan memberi rawatan pada kanak-kanak itu adalah anak saudara sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Saya memang tidak cam kerana fokus ketika itu hanyalah untuk menyelamatkan nyawa mereka sahaja yang parah," katanya.

Kejadian sekitar jam 10.30 malam itu, Mohd Fahimi, 36, yang merupakan guru Pendidikan Islam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bagan Datuk dan isterinya, Nor Aserah Ismail, 36, juga guru Kelas Al-Quran dan Fardhu 'Ain (KAFA) meninggal dunia dalam nahas membabitkan tiga kenderaan dekat Trong itu.

Nor Hashipah Ismail, 33, (kanan) tidak dapat menahan sebak ketika memegang pakaian terakhir yang dipakai kakaknya, Nor Aserah ketika menunggu di Jabatan Forensik, Hospital Taiping.
Nor Hashipah Ismail, 33, (kanan) tidak dapat menahan sebak ketika memegang pakaian terakhir yang dipakai kakaknya, Nor Aserah ketika menunggu di Jabatan Forensik, Hospital Taiping.

Difahamkan dua anak lelaki mangsa berusia lapan dan empat tahun menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh akibat kecederaan parah, manakala anak perempuan mangsa berusia enam tahun dilaporkan dalam keadaan stabil.

Menurut ibu kepada Mohd Fahimi, Norzarina Ibrahim, 64, anak ketiga daripada empat beradik itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya berikutan cuti sekolah sudah bermula.

"Saya memang menunggu dia sekeluarga pulang lagipun kerana mahu buat persiapan terakhir dan hendak hantar saya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang untuk menunaikan haji, Jumaat depan.

"Hajat dia hendak hantar itu tidak kesampaian dan saya reda dengan kejadian ini. Dia anak yang baik dan lembut," katanya.

Jenazah Mohd Fahimi akan dibawa ke Tanah Peekuburan Islam Kampung Batu 8, Trong untuk dikebumikan.
Jenazah Mohd Fahimi akan dibawa ke Tanah Peekuburan Islam Kampung Batu 8, Trong untuk dikebumikan.

Dalam kejadian membabitkan kereta Perodua Bezza dan lori itu, seorang penumpang kereta jenis Honda Civic, Haminah Majid, 73, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandunya, seorang wanita berusia 29 tahun yang merupakan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan dua anaknya berusia lima tahun dan setahun tercedera.

Mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang dari Lumut menuju ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Jenazah pasangan suami isteri akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 8, Trong di sini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!