Sudirman layak diberi pengiktirafan lebih besar - Sahabat

Bekas pembantu kreatif Sudirman Productions Sdn Bhd, Mohd Shuib Mohamed Taib, menunjukkan potret bersama Allahyarham Sudirman. Foto Bernama
Bekas pembantu kreatif Sudirman Productions Sdn Bhd, Mohd Shuib Mohamed Taib, menunjukkan potret bersama Allahyarham Sudirman. Foto Bernama
A
A
A

MUNGKIN tidak ramai menyedari, ada sesuatu yang sangat istimewa dan begitu bermakna 'berlaku' pada tarikh hari ini 70 tahun lalu, khususnya buat industri hiburan tanah air dan negara amnya.

Biasanya berlalu begitu sahaja, tarikh 25 Mei ini sangat penting dalam sejarah muzik negara yang sewajarnya diabadikan, kerana pada hari itulah lahirnya Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, seniman serba boleh yang mengangkat nama negara ke persada antarabangsa serta penyanyi pertama Malaysia yang menerima gelaran 'Penghibur Nombor Satu Asia'.

Akan tetapi, entah mengapa setelah lebih tiga dekad penyanyi legenda negara ini meninggalkan kita, hingga ke hari ini perjuangan dan pengorbanan beliau masih dipandang sepi biarpun lagu-lagu nyanyian Allahyarham kekal bernadi dalam kalangan peminat seni tanah air.

Bukan isu baharu, kerana sudah banyak kali suara dan harapan tentang pengiktirafan buat anak jati Temerloh, Pahang ini diangkat ke pelantar pihak berwajib termasuk kerajaan oleh penggiat seni tanah air, namun semuanya ibarat mencurah air ke daun keladi.

Jangan kata mengabadikan namanya di muzium atau galeri, sekadar memperingati sumbangan besar beliau dalam mengharumkan nama negara juga jauh panggang dari api, dan menurut penulis lirik tersohor tanah air Datuk Habsah Hassan, yang beria-ia memperjuangkan jasa Allahyarham hanyalah para sahabatnya.

Penulis lirik, Datuk Habsah Hassan yang juga rakan karib Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad ketika ditemuramah di pejabatnya di Taman Tun Dr Ismail baru-baru ini. Foto Bernama
Penulis lirik, Datuk Habsah Hassan yang juga rakan karib Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad ketika ditemuramah di pejabatnya di Taman Tun Dr Ismail baru-baru ini. Foto Bernama

"Penghargaan lebih besar patut diberikan kepada arwah tetapi ini tidak berlaku. Malah, tidak ada sebarang majlis untuk mengenang jasa arwah, dan kalau adapun, peminatnya yang buat bacaan tahlil. Sebagai seorang sahabat baik, sedih sebenarnya dengan situasi ini dan saya rasa negara terlepas pandang,” ujarnya kepada Bernama.

Bagi wanita ini, Sudirman merupakan khazanah negara yang begitu bernilai, bukan sahaja kerana bakat beliau hinggakan lagu-lagunya malar segar sampai kini, tetapi juga keperibadian serta karakter Allahyarham yang sewajarnya diangkat dan dijadikan inspirasi oleh ahli masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Apatah lagi negara tidak mempunyai ramai artis yang berkaliber seperti beliau yang turut berpendidikan tinggi serta mempunyai peminat daripada pelbagai peringkat usia merentasi kaum hingga dikenali sebagai ikon perpaduan.

"Setiap hari, industri hiburan melahirkan ramai artis, sama ada penyanyi ataupun pelakon, namun, untuk mencari ‘another’ Sudirman tidak akan ada, dan inilah warisan kita yang seharusnya dibanggakan dan ditonjolkan kepada masyarakat.

"Lagu-lagunya terus meniti di bibir peminat walaupun ada yang tidak mengenali beliau. Akan tetapi, negara seolah-olah tidak melihat kepentingan jasa arwah, dan situasi ini tidak berlaku kepada Sudirman sahaja namun tokoh lain dalam industri hiburan seperti Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee (turut menerima nasib sama),” katanya.

Gambar-gambar kenangan bekas pembantu kreatif Sudirman Productions Sdn Bhd, Mohd Shuib bersama Allahyarham Sudirman. Foto Bernama
Gambar-gambar kenangan bekas pembantu kreatif Sudirman Productions Sdn Bhd, Mohd Shuib bersama Allahyarham Sudirman. Foto Bernama

Lantaran itulah, Habsah yang merupakan penulis lirik kebanyakan lagu popular Sudirman seperti Salam Terakhir, masih menaruh harapan agar jasa dan pengorbanan seniman itu dihargai dan diberi pengiktirafan sewajarnya menerusi penubuhan sebuah galeri khas, selain pusara Allahyarham di Kampung Chengal, Temerloh dipulihara dan dijaga.

Mengimbau kembali momen persahabatan beliau dengan seniman itu, Habsah berkata keakraban mereka terjalin selepas beliau diberi peluang menulis lirik lagu Terasing pada 1984, susulan sikap terbuka Allahyarham yang sering bercerita tentang harapan, impian dan cita-cita, selain bebas dihubungi pada bila-bila masa.

"Walaupun Allahyarham Sudirman dikenali sebagai seorang yang mempunyai sikap positif seperti periang dan sentiasa mengambil berat, saya beranggapan, secara zahirnya, arwah adalah seorang yang sepi, sensitif dan manja dengan orang yang dikasihinya.

"... mungkin tafsiran saya salah, tetapi itulah yang saya faham daripada percampuran (pergaulan) dan perbualan dengan Allahyarham, selain sikap terbuka kami dalam segala hal termasuklah perihal peribadi. Pernah suatu ketika dia menghubungi saya awal pagi (untuk) menceritakan rasa sedihnya. Nasib baik suami (Mohamed Jusoh) sudah memahami sangat hubungan saya dengan Sudirman," kongsi beliau.

Pertalian yang erat itu membuatkan beliau menjadi tempat Sudirman meluahkan isi hati dan keluh-kesahnya dalam menghadapi kehidupan, memberi beliau inspirasi untuk menghasilkan lirik lagu yang puitis dan cukup bermakna buat penyanyi yang diberi julukan "The Singing Lawyer” itu.

Bagi Mohd Shuib Mohamed Taib, 58, bekas pembantu kreatif di Sudirman Productions Sdn Bhd, banyak perkara yang boleh dipelajari daripada "Mr Mann” dari segi kerja.

"Allahyarham (Sudirman) seorang yang tegas dan serius ketika bekerja, namun saya suka (bekerja dengan arwah) sebab dia sangat berterus terang dan tidak 'sugar-coat'. Dia juga bukan jenis berkira dengan pekerja-pekerjanya. Setiap hari dia akan belanja kami makan di kedai makanan Thailand (di depan pejabat), selepas waktu pejabat.

"Rindu akan lawak-lawak tanpa batasannya di pejabat, joke dia real (jenaka beliau memang kelakar). Walaupun Mr Mann suka berangan, dia akan realisasikan (angan-angannya)," katanya kepada Bernama.

Mohd Shuib berkongsi pengalaman berkawan rapat dan bekerja bersama penghibur hebat itu yang digelar 'Mr Mann' dalam kalangan rakan sepejabat, antara kenangan yang tidak dapat dilupakan dan akan dikenang hingga akhir hayatnya. Foto Bernama
Mohd Shuib berkongsi pengalaman berkawan rapat dan bekerja bersama penghibur hebat itu yang digelar 'Mr Mann' dalam kalangan rakan sepejabat, antara kenangan yang tidak dapat dilupakan dan akan dikenang hingga akhir hayatnya. Foto Bernama

Dedah beliau lagi, Allahyarham juga sering mengajak pekerjanya "lepak” (bersantai) dan menonton video di kediaman penghibur itu di Jalan Setia Kasih, Damansara.

Mohd Shuib yang kini bertugas sebagai Penyunting Berita Bahasa Inggeris di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata, hubungan baiknya dengan penyanyi hebat Anita Sarawak menjadi titik tolak akan keakraban beliau dengan Allahyarham Sudirman.

"Saya mengenali Kak Nita (Anita) terlebih dahulu. Kami sering berbual di telefon semasa (saya) menuntut di Christ College University, Canterbury, United Kingdom. Kak Nita ada bercerita tentang saya kepada arwah Sudirman, dan dari situ saya fikir Mr Mann berasa selamat untuk berkawan dengan saya.

"Pernah satu hari, Mr Mann meminta saya mengambil duitnya di dalam sebuah briefcase di pejabat, dan kalau tidak silap ada dalam lingkungan RM5,000. Seingat saya, selepas saya serahkan duit itu, dia langsung tidak kira semula," katanya yang tidak menyangka sebegitu sekali tahap kepercayaan Allahyarham kepadanya.

Menghembuskan nafas terakhir pada 22 Februari 1992 di usia 37 tahun selepas tujuh bulan bertarung dengan penyakit radang paru-paru, Sudirman merakamkan 15 buah album studio, 52 album kompilasi selain memenangi pelbagai anugerah tempatan dan antarabangsa sepanjang pembabitannya dalam dunia seni.

Malah, beliau merupakan artis pertama tanah air yang membuat persembahan di Royal Albert Hall, London pada 1989, menyertai senarai penghibur terkemuka antarabangsa yang mengadakan konsert di situ.

Antara lagu-lagu popular Sudirman yang masih bermain di corong radio dan menjadi pilihan pendengar ialah Merisik Khabar, Nilai Cintamu, Milik Siapakah Gadis Ini, Terasing, Anak Gembala, Pelangi Petang, Salam Terakhir, Kau Akan Kembali dan pelbagai lagi. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!