Parti liar dalam tren: Patuh garis panduan bukan alasan bebas berhibur

Zulkifli (kanan) berkongsi gambar parti liar yang berlaku dalam sebuah tren sewa khas yang membuat perjalanan pergi dan balik dari Stesen Kuala Lumpur ke Serendah baru-baru ini.
Zulkifli (kanan) berkongsi gambar parti liar yang berlaku dalam sebuah tren sewa khas yang membuat perjalanan pergi dan balik dari Stesen Kuala Lumpur ke Serendah baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Perbuatan maksiat dan derhaka adalah bertentangan dengan ketaatan atau bertentangan dengan perintah ALLAH SWT.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pada dasarnya Islam tidak melarang umatnya untuk berhibur namun hiburan harus dipandu dan dinilai berdasarkan nilai-nilai murni yang diajarkan oleh agama, serta tidak boleh mengandungi unsur-unsur yang dilarang atau bertentangan dengan ajaran Islam.

"Islam membenarkan hiburan kerana ia dianggap sebagai sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai video pesta hiburan sempena ulang tahun ‘Pinkish Festival’ di tren sewa khas yang membuat perjalanan pergi dan balik dari Stesen Kuala Lumpur ke Serendah yang tular baru baru ini.

Zulkifli turut berkongsi gambar penganjuran parti liar berkenaan di laman webnya pada Jumaat dan menegaskan alasan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bahawa penganjur berkenaan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan tidak boleh diterima.

“Patuh garis panduan bukan alasan berhibur sebebasnya termasuk meniru gaya hidup barat yang kini banyak melanda sebahagian besar umat Islam.

“Malah untuk perkara-perkara yang sukar atau hampir mustahil dilakukan sekalipun, ada dalam kalangan umat Islam yang melakukannya,” ujarnya,

Jelasnya lagi, adalah penting bagi kita memastikan setiap bentuk hiburan yang dianjurkan selari dengan ajaran Islam dan budaya ketimuran dengan menekankan adab dan tatasusila yang sewajarnya serta menghindari unsur-unsur yang boleh merosakkan akidah dan moral masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“Di sini juga kami mengambil kesempatan menasihati kepada anak muda pada hari ini agar sentiasa mendalami ilmu agama dan mendekati para alim ulama agar sentiasa berada di atas landasan yang betul.

“Begitu juga kepada pihak berwajib khususnya kerajaan mestilah mengambil cakna terhadap apa-apa anjuran aktiviti hiburan yang diadakan adalah selari dengan nilai-nilai moral yang bersifat universal dan sudah pasti tidak melanggar ketetapan syarak,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!