Bukit batu kapur belum dibuka sehingga selamat dikunjungi - Sze Yee

Sze Yee (kanan) ketika sidang akhbar di Pejabat Tourism Perak pada Jumaat.
Sze Yee (kanan) ketika sidang akhbar di Pejabat Tourism Perak pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak tidak akan membenarkan pembukaan semula pusat pelancongan bukit batu kapur yang diarah tutup sementara sehingga kerja-kerja menambah baik aspek keselamatan selesai dilaksanakan.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira syor diberikan Jawatankuasa Khas Pembangunan Kawasan Gua dan Kaki Bukit Negeri Perak.

Menurutnya, kerajaan negeri amat mengambil berat aspek keselamatan pengunjung berbanding keuntungan dalam sektor pelancongan.

"Sejujurnya saya mengalami tekanan yang amat besar kerana tahun ini Tahun Melawat Perak. Apabila kita tutup kawasan berkenaan maka kita akan kurang pengunjung sebab ada pengunjung yang ingin pergi ke pusat pelancongan berkenaan tetapi kerajaan mementingkan keselamatan pengunjung.

"Saya rasa bukan satu dua yang ditutup tetapi ada kawasan lain yang diarahkan tutup sehingga mereka buktikan kepada kerajaan bahawa mereka bersungguh-sungguh untuk melakukan penambahbaikan bagi menjamin keselamatan pengunjung," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Pejabat Tourism Perak pada Jumaat.

Difahamkan sekurang-kurangnya dua pusat pelancongan bukit batu kapur yang ditutup sementara iaitu Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling dan Gunung Lanno di Ipoh.

Pada 17 April lalu, media melaporkan kerajaan negeri Perak mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mematuhi pekeliling membabitkan aspek keselamatan berkaitan pembangunan kawasan gua dan kaki bukit batu kapur yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pekeliling tersebut akan dikeluarkan Jawatankuasa Khas Pembangunan Kawasan Gua dan Kaki Bukit Negeri Perak yang dipengerusikan Pengarah Tanah dan Galian negeri, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, arahan tersebut dikeluarkan bagi memastikan semua pembangunan di kawasan di kaki bukit dan di dalam gua batu kapur di negeri ini selamat untuk kunjungan orang ramai.

Sinar Harian pada 8 April lalu melaporkan seorang pemandu pelancong maut ditimpa bongkah batu seberat lima kilogram ketika mengunjungi sebuah kawasan rekreasi dekat Gunung Rapat di sini pada Isnin.

Laporan kejadian itu diterima sekitar jam 11.30 pagi melibatkan lelaki warga tempatan berusia 44 tahun.

Susulan kejadian itu, kawasan pelancongan tersebut ditutup sementara, sehingga laporan penuh berhubung kejadian maut berkenaan disiapkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!