Tugas pembersihan diiktiraf sebagai kerjaya berkemahiran tinggi

Penerima Anugerah Graduan Terbaik pada Majlis Konvokesyen SWCorp di Universiti Putra Malaysia (UPM). Foto SWM Environment
Penerima Anugerah Graduan Terbaik pada Majlis Konvokesyen SWCorp di Universiti Putra Malaysia (UPM). Foto SWM Environment
A
A
A

SEREMBAN - Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) membuktikan dedikasi, kepakaran, komitmen petugas pembersihan awam, sekali gus meningkatkan kualiti kerja dalam kalangan tenaga kerja SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment).

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, seramai 71 petugas daripada peringkat Eksekutif Operasi, Penyelia dan Pekerja Rendah Am (PRA) menerima sijil kemahiran tinggi itu pada 21 April lalu di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurutnya, kesemua petugas pembersihan itu selesai menjalani latihan Sistem Pensijilan Kemahiran Malaysia melalui kaedah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) anjuran SWCorp Malaysia.

"Ia mencerminkan komitmen syarikat dalam memupuk pembangunan kemahiran dan pertumbuhan kerjaya profesional di kalangan tenaga kerjanya. Kakitangan kami adalah tulang belakang SWM Environment dan kemahiran mereka menyumbang dengan ketara kepada kejayaan syarikat.

"Selain itu, setiap peserta perlu menjalani peperiksaan dan dinilai oleh pegawai pengesah luaran dilantik Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Eksekutif Operasi Cawangan SWM Environment Nilai, Mohamad Faisal Zakaria, 41, yang dinobatkan sebagai graduan terbaik berkata, program tersebut memberikan pengetahuan baharu kepadanya terutamanya dalam kaedah pengurusan kerja, aset dan tenaga kerja di lapangan.

"Sijil kemahiran melibatkan latihan dan pendidikan bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pekerja. Selain itu ia juga meningkatkan mutu kerja petugas.

"Pihak syarikat turut memberikan pendedahan penggunaan teknologi terkini bagi mengoptimumkan tugasan kutipan sisa pepejal, pembersihan awam di lapangan,” katanya yang berkhidmat sejak 10 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Penyelia SWM Environment, Firdaus Abu Kasim, 33, menyifatkan program itu juga menekankan kepentingan tenaga mahir terutamanya golongan muda yang penting dalam sektor pekerjaan 3D bagi memastikan pengurusan sisa pepejal dapat dilaksanakan lebih cekap dan terlatih.

"Saya bangga dengan kerjaya yang diiktiraf oleh kerajaan, walaupun tugasnya mencabar dengan bau busuk, kotor, saya ingin buktikan petugas sektor 3D adalah berkemahiran tinggi,” katanya.

Bagi Mohd Arif Kamis, 49, yang merupakan pesara tentera berkata, dia tidak menyesal memilih kerjaya dalam sektor tersebut dan menyifatkan ia satu pekerjaan stabil.

"Pengiktirafan seperti ini dapat menonjolkan sisi positif kerjaya dalam bidang perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam. Saya juga menyeru lebih ramai golongan muda tempatan menceburi sektor 3D dan percaya bidang ini juga mempunyai masa depan yang baik,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!