Malaysia, Hong Kong setuju manfaat aspek ekonomi, TVET

Ahmad Zahid (tengah) bersama John Lee Ka-chiu, ketika mengadakan Kunjungan Hormat ke atas Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) di Govemment House Central pada Khamis. Foto Bernama
Ahmad Zahid (tengah) bersama John Lee Ka-chiu, ketika mengadakan Kunjungan Hormat ke atas Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) di Govemment House Central pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

HONG KONG - Malaysia dan Hong Kong telah mencapai beberapa persetujuan antaranya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan ekonomi bagi manfaat kedua-dua pihak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dicapai semasa pertemuannya bersama Ketua Eksekutif dari Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) John Lee Ka Chiu, di sini hari ini.

Ahmad Zahid kini dalam lawatan rasmi pertama ke China sejak memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022 dan lawatan itu, yang bermula semalam hingga 1 Jun ini, adalah atas jemputan Naib Perdana Menteri China Ding Xuexiang.

"Di Hong Kong beberapa politeknik dan sekolah teknikal TVET ini sangat berjaya dalam mengendalikan kursus terutama dalam bidang baharu yang juga sedang diterokai dan dimulakan di Malaysia.

"Mereka sedia untuk membantu dengan memulakan latihan untuk pengajar (training for trainers) iaitu hantar tenaga pengajar kita bagi mendapatkan latihan di Hong Kong dan diikuti juga dengan program pertukaran pelajar," katanya kepada media Malaysia.

Beliau berkata, ketika ini terdapat seramai 500 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pelajaran di universiti di Hong Kong, dengan 95 peratus daripadanya merupakan penerima biasiswa.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, turut dibincangkan penubuhan sebuah pejabat perdagangan dan ekonomi oleh kerajaan Hong Kong di Kuala Lumpur, selain usaha meningkatkan penglibatan pengurus dana dari Wilayah Pentadbiran Khas itu memasuki pasaran saham Malaysia.

"Mereka telah bersetuju dengan penubuhan sebuah pejabat perdagangan dan ekonomi di Kuala Lumpur dan tujuannya adalah untuk memudahkan urus niaga, soal pentadbiran dan soal berkait kewangan di Malaysia kerana di Hong Kong kita (Malaysia) mempunyai pejabat konsulat jeneral yang (ditubuhkan bagi) mempermudahkan semua urusan.

"Setelah lebih setahun setengah kerajaan MADANI mentadbir negara ini, kita lihat bahawa tahap keyakinan dan sentimen kebolehpasaran itu meningkat dan saya mengambil peluang untuk mengajak pengurus dana di Hong Kong untuk turut serta merancakkan transaksi urus niaga di Bursa Saham kita,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pertemuan itu, Ahmad Zahid berkata, aspek pelancongan turut disentuh dan kerajaan akan menambah jumlah penerbangan buat pelancong Hong Kong ke Malaysia.

"Terdapat peningkatan lebih 1,200 peratus pelancong daripada Hong Kong ke Malaysia. Pelancong ini bukan hanya ke Kuala Lumpur sahaja, tetapi juga ke Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak...maka tiga syarikat penerbangan (Hong Kong) telah memulakan penerbangan ini.

"Saya telah minta diberikan kemudahan untuk menambahkan penerbangan dan ia sedang ditangani oleh MOTAC (Kementerian Pelancong, Seni dan Budaya) dan MoT (Kementerian Pengangkutan),” katanya.

Ahmad Zahid berkata, turut disentuh adalah mengenai pelancongan Islamik serta industri halal.

"Saya beri beberapa indikasi untuk bantu mereka terutama melalui persatuan-persatuan Muslim di Hong Kong untuk pensijilan halal yang dapat kita bantu mereka dan tindakan susulan dapat dilakukan Halal Development Corporation (Berhad) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!