Saksi kemalangan di SIC diminta tampil bantu siasatan

Gambar hiasan. Foto Bernama
Gambar hiasan. Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Polis meminta saksi kes kemalangan dua kenderaan di lampu isyarat Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini pada 2 Oktober tahun lalu untuk tampil salur maklumat bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta jenis BMW dan Proton Saga, dengan kedua-dua pemandu kenderaan terbabit masing-masing parah akibat kejadian itu.

Menurutnya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, Proton Saga dipandu lelaki tempatan berusia 25 tahun dari arah Sepang menghala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah melanggar BMW terbabit di lampu isyarat.

"Kemalangan itu mengakibatkan pemandu Proton Saga dan BMW yang dipandu lelaki warga Bangladesh mengalami kecederaan parah.

"Kedua-dua mereka yang parah di kepala telah dikejarkan ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan lanjut," katanya pada Khamis.

Tambah Azman, kes itu diklasifikasi bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Justeru, orang awam yang menyaksikan kemalangan itu atau mempunyai maklumat lanjut, diminta datang ke balai polis berhanpiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Arif Jantan di talian 013-6404165 atau 03-877682222.

Artikel Berkaitan: