Mila Jirin impi ke pentas AJL

Mila Jirin
Mila Jirin
A
A
A

HILANG seketika dari radar seni bukan bermakna Mila Jirin sudah meletakkan titik noktah buat kariernya, sebaliknya penyanyi dan usahawan itu mencari karya sesuai untuk dipersembahkan buat peminat tercinta.

Malah penyanyi berusia 37 tahun itu membuktikan kehilangannya bukan bermakna dia sudah dilupakan peminat.

Buktinya, selepas sebulan melancarkan muzik video Sandera di saluran YouTube, lagu berkenaan telah mendapat sambutan yang hangat sehingga mencapai 25,000 tontonan.

Rata-rata komen menyatakan keterujaan mereka menyaksikan kemunculan semula Mila dengan membawakan lagu yang sangat tepat dan bersesuaian dengan dirinya.

Malah ada yang berkata Sandera layak dibawa ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) kerana karya ciptaan Amylea Azizan mempunyai keserasian dengan vokal Mila.

Bagaimanapun Mila menyifatkan ia adalah pujian yang sangat besar buat beliau yang baru saja menapak kembali dalam industri seni muzik.

"Siapa yang tak mahu berada di pentas gah AJL? Ia adalah impian bagi kebanyakan penyanyi sebagai penanda aras sejauh mana kehebatan sesebuah lagu itu.

"Saya yakin susunan muzik Amylea memberi majlis buat sesiapa saja yang mendengar. Yang penting saya perlukan sokongan semua untuk sama-sama membawa Sandera ke pentas berprestij itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mila Jirin
Mila Jirin

Janji Mila, kali ini dia yakin tidak akan menghentikan kerjaya nyanyiannya itu kerana tempoh 10 tahun berehat bagi membina empayar perniagaannya iaitu Bizzmilla sebelum ini sudah cukup.

Malah Mila mahu mengembangkan bakat bukan hanya sekadar menyanyi tetapi juga mengintai potensi dalam perniagaan bidang seni pula.

“Setahun atau dua tahun lalu, saya ada berkongsi video menyanyi di media sosial dan ramai yang tanya kenapa sia-siakan bakat.

“Seperti yang semua tahu, saya cuba pujuk suami. Walaupun pada mulanya suami agak berat nak membenarkan kerana kesibukan kami dalam perniagaan, tetapi dia tahu jauh di sudut hati saya masih mahu menyanyi. Alhamdulillah dia izinkan,” tuturnya yang berharap kehadirannya akan memberi manfaat kepada industri seni.

Sementara itu, bercakap mengenai Sandera, kata Mila, perkataan itu sendiri bermaksud tentang seseorang yang terperangkap dan menjadi tebusan kepada sesuatu.

“Kalau dikaji semua lirik ini, ia adalah satu perasaan yang terperangkap disebabkan perlu memenuhi kehendak orang tang dia sangat cintai. Terkejut juga baca lirik2 ini. Amylea pandai menggunakan bahasa yang indah dalam lagu-lagunya.

“Terasa seperti lagu ini begitu sesuai dengan saya yang semakin matang daripada segi pembawaan dan penjiwaan nyanyian.

“Alhamdulillah, berbekalkan pengalaman dahulu juga, proses rakaman hanya diambil selama 5 jam saja,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!