MCW syor lapan langkah atasi ketirisan penyasaran subsidi diesel

MCW syor lapan langkah kepada kerajaan bagi mengurangkan kemungkinan berlaku ketirisan susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel. Foto hiasan
MCW syor lapan langkah kepada kerajaan bagi mengurangkan kemungkinan berlaku ketirisan susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengesyorkan lapan langkah kepada kerajaan bagi mengurangkan kemungkinan berlaku ketirisan susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel.

MCW berkata, selain dari data Pangkalan Data Utama (PADU), kerajaan disaran menggunakan data pendaftaran kenderaan untuk memastikan hanya kenderaan yang dimiliki oleh golongan sasaran iaitu B40 dan M40 mendapat subsidi.

Menurutnya, pangkalan data itu harus dikemas kini secara berkala dan diselaraskan dengan agensi-agensi berkaitan.

"Kerajaan juga boleh menggunakan MyKad atau kad pengenalan kebangsaan untuk memastikan pemilik yang layak sahaja dapat membeli diesel bersubsidi. Ini boleh dilakukan dengan menghubungkan pembelian diesel bersubsidi dengan sistem pengenalan digital.

"Penggunaan teknologi dan digitalisasi (juga penting). Implementasikan sistem pemantauan berpusat untuk mengawasi penjualan dan penggunaan diesel bersubsidi. Teknologi seperti 'blockchain' boleh digunakan untuk mencatat dan mengesahkan transaksi supaya tiada manipulasi," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam Selasa mengumumkan bahawa Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel bagi pengguna di Semenanjung.

Kata Anwar, penyasaran subsidi diesel berkenaan tidak melibatkan golongan T20 serta 3.8 juta warga asing sekali gus memberi penjimatan kepada kerajaan secara kasar kira-kira RM4 bilion setahun, iaitu yang pernah dinikmati kumpulan berkenaan sebelum ini.

MCW berkata, kerajaan juga boleh membangunkan aplikasi mudah alih untuk pengguna mendaftar dan mengesan penggunaan diesel bersubsidi.

Artikel Berkaitan:

"Aplikasi ini juga boleh memberi maklum balas dan laporan langsung kepada pihak berkuasa. Selain itu, kerajaan dicadang buat kerjasama dengan peruncit. Berikan latihan kepada penjual runcit tentang cara mengenal pasti pelanggan yang layak dan memastikan mereka mematuhi peraturan subsidi.

"Buat audit dan pemeriksaan berkala di stesen minyak dan tempat jualan diesel untuk memastikan tiada penyalahgunaan. Penguatkuasaan undang-undang yang tegas terhadap sebarang ketidakpatuhan perlu dilaksanakan," ujarnya.

No Image Caption

MCW menambah, kerajaan juga perlu menyediakan saluran aduan khas untuk masyarakat melaporkan sebarang ketirisan atau penyelewengan dalam penyaluran subsidi.

Katanya, kerajaan perlu melaksanakan kempen kesedaran untuk memberitahu golongan sasaran tentang hak mereka dan cara mendapatkan subsidi diesel.

"Ini boleh mengurangkan peluang untuk manipulasi dan penyelewengan oleh pihak ketiga. Mungkin pendaftaran PADU juga perlu dibuka semula dan boleh didaftarkan pada bila-bila masa.

"Melalui pendekatan ini secara keseluruhannya, barulah rakyat dapat diyakini bahawa subsidi diesel disalurkan dengan betul kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan mengurangkan kemungkinan ketirisan yang boleh menjejaskan keberkesanan program tersebut," kata MCW.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!