Makkah Route: Bukti keyakinan Arab Saudi kepada Malaysia

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar bersama Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al Sulaim pada pelepasan bakal haji dari kumpulan ke-38 berlepas ke tanah suci dari sini menaiki penerbangan Saudi Airlines SV 5013 pada 2.15 pagi tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar bersama Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al Sulaim pada pelepasan bakal haji dari kumpulan ke-38 berlepas ke tanah suci dari sini menaiki penerbangan Saudi Airlines SV 5013 pada 2.15 pagi tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Pelaksanaan inisiatif Makkah Route untuk kali keenam membuktikan pengiktirafan antarabangsa dan keyakinan pihak Arab Saudi terhadap kecekapan pengurusan operasi haji yang dikendalikan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, tahap disiplin tinggi dalam kalangan jemaah haji negara turut menjadi penyumbang kepada faktor pemilihan Malaysia untuk pelaksanaan Makkah Route, inisiatif yang telah banyak membantu mempermudahkan urusan jemaah haji negara.

Beliau berkata, setelah melalui penerbangan selama lapan jam, jemaah haji Malaysia tidak perlu menunggu lama setibanya di tanah suci kerana proses pemeriksaan Jabatan Imigresen dan Kastam Arab Saudi telah diselesaikan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Kerajaan Malaysia amat berbesar hati dan menghargai kepercayaan diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi kerana sekali lagi dipilih bagi musim haji tahun ini untuk menyertai program Makkah Route di samping enam negara lain iaitu Indonesia, Maghribi, Pakistan, Bangladesh, Ivory Coast dan Turkiye.

"Pemilihan Malaysia sekali lagi pada tahun ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan," katanya kepada media pada Majlis Pelancaran Makkah Route bagi Musim Haji 1445H/2024M, di sini malam tadi.

Turut hadir, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al Sulaim, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman serta barisan Pengurusan Kanan TH.

Sementara itu, Mesaad Ibrahim berkata, beliau berharap program Makkah Route itu dapat diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang sebagai tanda hubungan begitu rapat antara Arab Saudi dan Malaysia.

Syed Hamadah pula berkata pelaksanaan Makkah Route telah meletakkan pengurusan haji TH di tahap yang cemerlang kerana ia ternyata memudahkan urusan jemaah haji dan itu dapat dilihat melalui peningkatan indeks kepuasan pelanggan.

"Pihak TH amat berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi yang menyambut baik usaha memperkukuhkan hubungan dua hala ini dan diharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang demi kesejahteraan para Dhuyufurrahman," katanya.

Artikel Berkaitan:

Malaysia merupakan negara pertama di dunia diberikan kepercayaan oleh Kerajaan Arab Saudi melaksanakan Makkah Route melalui program perintisnya pada 2017.

Ia kemudian diteruskan dengan program penuh pada 2018, 2019, 2022 dan 2023.

Sebanyak 353 bakal haji dari kumpulan ke-38 berlepas ke tanah suci dari sini menaiki penerbangan Saudi Airlines SV 5013 pada 2.15 pagi tadi.

Setakat ini, hampir 11,000 jemaah haji Malaysia sudah tiba di tanah suci melalui proses Makkah Route.

Terdapat 100 penerbangan sewa khas bagi Musim Haji 1445H/2024M yang telah bermula pada 9 Mei lepas dan penerbangan akhir dijadualkan pada 9 Jun ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!