Kebanyakan jenayah seksual libat golongan B40 - Anfaal

Anfaal
Anfaal
A
A
A

SHAH ALAM - Kebanyakan jenayah seksual melibatkan wanita dan kanak-kanak berlaku kepada golongan yang memiliki latar belakang miskin tegar, namun boleh diatasi dengan mengeluarkan mereka daripada tahap kemiskinan.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, maklumat berkenaan diperoleh berdasarkan laporan town hall dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor minggu lalu.

“Sebanyak 134 kes dilaporkan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), hampir 100 peratus berlaku melibatkan kumpulan golongan berpendapatan rendah (B40).

“Saya mengambil berat dan bertanggungjawab sepenuhnya bahawa kita perlu mengeluarkan mereka yang di kawasan bandar ini daripada tahap miskin bandar.

“Perkara pertama yang perlu kita bantu, mereka yang dalam kategori B40. Ini adalah tentang isu periuk nasi, ekonomi mereka dan mobiliti sosial ini yang perlu menjadi sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Siri 441 yang bertajuk ‘raksasa’ dalam rumah yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, pada Selasa.

Program itu dihoskan Ismail Adnan dan turut menampilkan dua panelis lain iaitu Pensyarah Kanan Program Sains Forensik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Geshina Ayu Mat Saat dan Pegawai Turus D11, Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor, Deputi Superintenden (DSP) Norfidah Muhamad Dan.

Selain daripada membantu mereka keluar daripada tahap miskin bandar, Anfaal memberitahu cara lain yang boleh dilakukan untuk mengekang masalah berkenaan adalah dengan mempertingkatkan advokasi mengenai jenayah seksual.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebagai negara selamat, ia bukan sahaja tentang kemakmuran semata-mata tetapi membentuk masyarakat penyayang dan saling peduli antara satu sama lain serta cakna mengenai perkara berlaku di sekeliling.

Ujar Anfaal, membentuk masyarakat peduli itu penting kerana mereka secara tidak langsung berupaya menjadi orang pertama dalam kalangan bukan ahli keluarga menyedari perubahan pada diri individu yang menjadi mangsa jenayah seksual.

“Pentingnya first responder (orang pertama) untuk mengetahui kerana di pihak kerajaan, agensi persekutuan yang berada di negeri seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meneruskan usaha daripada tahun 2023 menerus Program Kasih iaitu advokasi perlindungan kanak-kanak melalui sekolah.

“JKM mengadakan kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengadakan taklimat kepada guru dan ibu bapa tentang keselamatan siber dalam melayari internet secara selamat,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!