Sultan 15 hari, berakhir Agong penuh gilang-gemilang

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bersemayam di singgahsana negara sejak 31 Januari 2019 mahu rakyat Malaysia terus bersatu padu dan bekerjasama memajukan Malaysia. Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bersemayam di singgahsana negara sejak 31 Januari 2019 mahu rakyat Malaysia terus bersatu padu dan bekerjasama memajukan Malaysia. Foto Bernama
A
A
A

[MUKADIMAH] Hari ini lengkaplah sudah lima tahun pemerintahan luar biasa Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selaku Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Malaysia ke-16.

Memulakan tampuk pemerintahan dengan penuh warna-warni lantaran sebelum itu baginda masih Pemangku Raja Pahang, ternyata cabaran yang perlu diharungi selepas itu bukanlah kecil.

Mungkin sudah tersurat takdir, Sultan yang hebat diuji dengan dugaan yang juga sangat kuat.


Rakyat Malaysia sudah pasti akan merindui Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah. Foto Bernama
Rakyat Malaysia sudah pasti akan merindui Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah. Foto Bernama

Bermula daripada Covid-19, kejatuhan dua kerajaan dan peletakan jawatan Perdana Menteri serta Parlimen tergantung pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), semua kemelut itu tidak pernah didepani mana-mana Agong sebelum baginda.

Namun, payung kepada 33 juta rakyat jelata itu mengharungi segala cabaran dengan penuh tenang dan bijaksana, sehingga akhirnya mengelakkan krisis politik dan kesihatan lebih buruk melanda negara.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah secara eksklusif berkongsi rasa, kisah dan suka duka lima tahun baginda berdua bersama sekumpulan pengamal media di Istana Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sinar Harian diwakili Pengarang Eksekutif, Azmi Tarmizi.

Artikel Berkaitan:


Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli berangkat tiba ke Pesta Keramaian bersama rakyat sempena Kembara Kenali Borneo di Pantai Bungai Bekenu, Miri pada 10 September tahun lalu. Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli berangkat tiba ke Pesta Keramaian bersama rakyat sempena Kembara Kenali Borneo di Pantai Bungai Bekenu, Miri pada 10 September tahun lalu. Foto Bernama

Apakah kenangan terbesar, cabaran terbesar, saat paling manis, paling sedih sejak lima tahun Tuanku ketuai negara?

Yang di-Pertuan Agong: Terlebih dahulu saya bersyukur kepada ALLAH SWT kerana hampir sepenggal pemerintahan saya sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Sudah tentu banyak pengalaman yang manis, seram ada juga.

Pengalaman yang saya tidak kata pahit tetapi cabaran itu ada.

Namun saya percaya banyak kenangan manis daripada kenangan kurang manis.

Jadi satu per satu itu panjang ceritanya. Saya anggap, saya sudah cuba buat sekadar mana yang saya mampu.


Al-Sultan Abdullah. Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah. Foto Bernama

Pertama kali untuk menenteramkan keadaan negara dan menstabilkan senario politik ketika itu.

Walaupun tidak dengan secara drastik, namun sekurang-kurangnya dapat mengekalkan keharmonian dan kestabilan sehingga kini.

Kenangan manis, bila saya ingat balik ketika waktu saya datang ke Istana, sudah tentu pengalaman yang saya rasa agak manis adalah saya akan memegang jawatan yang saya sendiri tidak pasti. Apakah peranan saya? Apakah tugasan saya?

Itu antara cabaran yang saya rasa agak sukar. Selepas itu, berterusan.


Kemesraan Al-Sultan Abdullah dengan Tunku Azizah ketika sesi wawancara bersama media di Istana Negara, baru-baru ini. Foto Bernama
Kemesraan Al-Sultan Abdullah dengan Tunku Azizah ketika sesi wawancara bersama media di Istana Negara, baru-baru ini. Foto Bernama

Kenangan manis itu banyaklah antaranya terkini kembara, sebelum itu berjumpa dengan rakyat, bantu rakyat apabila berlakunya kemalangan di jalan raya ketika saya dalam perjalanan.

Saya menyantuni rakyat di gerai-gerai makanan dan restoran. Berswafoto, bergurau-senda dengan mereka dan saya anggap itu adalah kenangan manis yang apabila saya dapat menyantuni rakyat.

Ia memberi semangat kepada saya dan kalau anda perasan, sebab itu saya selalu menyantuni rakyat dalam apa-apa keadaan sekalipun.

Pengalaman sedih pula, apabila keadaan politik tidak tenteram, saya anggap itu satu keadaan yang sedih kerana apabila kerajaan tempoh hari iaitu pada masa 2019, kita mengharapkan supaya negara dapat meneruskan pentadbiran dengan sebaik mungkin tetapi sebaliknya berlaku.


Al-Sultan Abdullah. Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah. Foto Bernama

Pertukaran kerajaan ini bukanlah perkara yang mudah dan harus dipraktik sewenang-wenangnya kerana ini akan merugikan negara, rakyat kita, masa, kewangan dan pelbagai lagi.

Saya tidak menidakkan mana-mana politik namun pengalaman menukar kerajaan itu adalah satu proses yang cukup merugikan negara. Itu apa yang boleh saya kata.

Kita sudah ada proses demokrasi yang tertulis setiap lima tahun, kita ada pilihan raya.

Jadi biarlah sekurang-kurangnya empat atau lima tahun sesebuah kerajaan untuk memerintah, bukan sekadar hanya setahun atau dua tahun kita nak tukar dengan sewenang-wenangnya.

Al-Sultan Abdullah. Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah. Foto Bernama

Saya rasa kita dah perhati bukan sahaja di Malaysia, tetapi di negara-negara Eropah sekalipun tengoklah keadaan ekonomi mereka. Itu antara pengalaman yang agak sukar untuk saya terima.

Tuanku telah mengharungi suatu tempoh yang penuh warna-warni. Ini kerana dalam tempoh berkenaan, banyak peristiwa dan isu berlaku seperti penularan pandemik Covid-19 serta kemelut politik yang telah menyaksikan empat Perdana Menteri menerajui kerajaan. Bolehkah Tuanku gambarkan perasaan dan pengalaman sepanjang tempoh itu?

Saya lupa nak menyebut semasa negara mendepani Covid-19. Memang itu antara masa yang cukup tertekan bagi saya sebagai Yang di-Pertuan Agong kerana kita kehilangan ramai rakyat dan kita juga dalam kegelapan masa itu.

Vaksin pun tiada dan sukar untuk mendapatkan. Mungkin ada juga terlambat untuk menerima vaksinasi.


Tunku Azizah. Foto Bernama
Tunku Azizah. Foto Bernama

Walau bagaimanapun, saya akui kementerian tempoh hari telah buat pelbagai usaha untuk membendung keadaan ketika itu dan kita adakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Itu sedikit sebanyak membantu kerajaan untuk mengurangkan merebaknya Covid-19. Namun dalam pada itu, kita terpaksa menanggung banyak kerugian daripada segi ekonomi.

Ramai di antara kita telah menderita sewaktu pandemik Covid-19 selama dua tahun itu dan saya amat bersimpati sekali.

Itu antara perkara yang luar jangkaan dan memang sukar untuk raja atau pemerintah sekalipun untuk menyelesaikan dengan sekelip mata. Ini merupakan krisis fenomena global.

Alhamdulillah, dengan berkat doa semua rakyat, kita dapat mengatasi dengan sebaik mungkin.

Sekarang ini kita masih berdepan dengan krisis pandemik Covid-19. Apa pandangan Tuanku?

Pengalaman saya, saya begitu tumpu terhadap tugasan saya sebagai Yang di-Pertuan Agong setiap hari.


Al-Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah dalam wawancara eksklusif bersama media di Istana Negara, baru-baru ini. Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah dalam wawancara eksklusif bersama media di Istana Negara, baru-baru ini. Foto Bernama

Dulunya hari Rabu tetapi saya tukarkan kepada hari Selasa iaitu pada sebelah petang dengan Perdana Menteri, kita memanggilnya sesi Mesyuarat Pra-Kabinet. Biasanya ia tamat dalam 45 minit hingga sejam.

Ini saya sudah lunaskan sebanyak 157 kali dan setiap sesi itu dengan semua Perdana Menteri, sudah tentu saya akan baca kertas Kabinet sehari sebelum perjumpaan itu.

Mana-mana kertas Kabinet yang perlu saya tanya, saya akan tanya.

Yang mana saya setuju, saya setuju. Saya tidak setuju, saya tidak setuju.

Jadi, Alhamdulillah segala pandangan dan nasihat Perdana Menteri, saya terima dan sebaliknya juga. Teguran saya, Perdana Menteri akan maklumkan kepada Kabinet.

Jadi, itu kerjasama secara dua hala untuk Perdana Menteri selama tempoh lima tahun.


Wakil media memotretkan gambar kenangan bersama Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di Istana Negara, baru-baru ini. Foto Bernama
Wakil media memotretkan gambar kenangan bersama Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di Istana Negara, baru-baru ini. Foto Bernama

Itu satu pengalaman yang saya rasa harus diteruskan oleh bakal Yang di-Pertuan Agong dan Agong-agong yang akan datang kerana itu adalah komunikasi yang sangat baik antara ketua kerajaan dan ketua negara supaya segala urusan tadbir urus negara boleh diselesai melalui mesyuarat di antara Yang di-Pertuan Agong dengan Perdana Menteri.

Saya ada tunjuk di sini buku apa yang saya tulis. Sewaktu saya mengambil alih, saya catitkan apa teguran saya atau apa pandangan menteri, saya akan catitkan dari masa ke semasa.

Ada tujuh buku macam ini. Tujuh buku yang saya habiskan. Saya tidak tulis semua.

Begitu banyak sekali, 30 kementerian, lebih 30 perkara-perkara yang dibincangkan oleh Kabinet dan saya pun terpaksa juga baca.


Al-Sultan Abdullah. Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah. Foto Bernama

Saya akui saya cukup minat membaca dan saya mendalami sedikit sebanyak urusan-urusan tadbir urus negara. Sebelum ini, di peringkat Pahang, kita belum pernah merasai, jadi saya dapati ia amat menarik.

Itu antara perkara yang saya akui cukup minat dalam mengambil tahu tentang tadbir urus negara.

Buku-buku ini adalah untuk catatan peribadi. Bila dah tua-tua esok, boleh berbincang dengan anak-anak tentang macam mana peranan saya sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Banyak juga rakan ataupun pandangan-pandangan profesional, kawan-kawan yang katakan saya boleh keluarkan memoir, saya kata mungkin tidak terus.

Mungkin kemudian sedikit tetapi seelok-eloknya bukan ditulis oleh saya. Saya tidak boleh tulis pasal saya. Seseorang kena tulis untuk saya atau seseorang yang mahu menulis mengenai saya.

Saya pun pernah pelawa sebuah universiti kalau ada sesiapa yang mahu jadikan sebagai kajian kes, saya tidak ada masalah untuk berkongsi pengalaman mengenai apa sahaja yang saya telah lalui.


Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli berangkat tiba ke Pesta Keramaian bersama rakyat sempena Kembara Kenali Borneo di Pantai Bungai Bekenu pada 10 September tahun lalu..Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli berangkat tiba ke Pesta Keramaian bersama rakyat sempena Kembara Kenali Borneo di Pantai Bungai Bekenu pada 10 September tahun lalu..Foto Bernama

TUANKU KONGSI PENGALAMAN BERSAMA EMPAT PERDANA MENTERI

Adakah terdapat apa-apa perkara yang Tuanku fikir boleh dilakukan dengan berbeza?

Saya tidak akan menjelaskan secara terperinci tetapi cukup untuk mengatakan bahawa ketika saya masuk, saya melihat bajet negara dari tahun ke tahun, telah meningkat.

Apabila saya masuk, Perdana Menteri kita ialah Tun Dr Mahathir Mohamad. Setiap kali saya mengadakan pertemuan dengannya, beliau selalu memberitahu saya bahawa kerajaan berada dalam kekangan kewangan. Pada masa itu.

Kemudian, beliau pun kata tidak boleh berbelanja atau projek-projek yang besar dan sebagainya. Malah, sehingga beberapa projek terpaksa dibatalkan.

Saya tidak akan menamakan projek tersebut. Jadi saya faham keputusan beliau kerana saya pun baru masuk dan saya terima hakikat itu.

Apabila beliau letak jawatan, Tan Sri Muhyiddin Yassin ambil alih, saya dapati ceritanya lain pula. Ada duit untuk belanja itu, belanja ini dan seterusnya.

Jadi saya pun nak kata, siapa yang benar atau siapa tidak benar, Wallahualam tetapi apa yang diumum di Parlimen, kita semua tahu. Meningkat sedikit, dari tahun ke tahun.

Begitu juga perbelanjaan Covid-19, zaman kecemasan di mana saya juga tidak berapa puas hati apabila terpaksa tandatangan deklarasi kecemasan tempoh hari. Oleh kerana kes Covid-19 semakin meningkat, saya terpaksa buat keputusan.

Kemudian, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga, bajet begitu juga. Ini semua menggambarkan seolah-olah keadaan kewangan dan dasar fiskal kerajaan agak baik.

Terdapat sedikit pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tidak tinggi tetapi kalau berbanding dengan negara-negara jiran, kita setanding. Namun tidak sehebat seperti China atau negara besar lain.

Jadi apa yang sedang dibuat oleh Perdana Menteri sekarang adalah cuba untuk mengawal mana-mana ketirisan atau perbelanjaan besar.

Saya gembira melalui peranan kecil dengan mempamerkan peranan Yang di-Pertuan Agong, dalam konteks yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Dalam Perlembagaan mengatakan, Perkara 39 dari segi Kuasa Eksekutif Persekutuan, adalah terletak pada Yang di-Pertuan Agong. Tetapi Perkara 40, delegasi kuasa itu turun kepada Jemaah Menteri atau Perdana Menteri.

Jadi sedikit sebanyak dengan kuasa Agong iaitu melantik Perdana Menteri, memanggil Majlis Raja-Raja Melayu, boleh mengurniakan gelaran dan seterusnya. Ini juga saya nak mengingatkan dalam Perkara 40(1) ada menyatakan Yang di-Pertuan Agong perlu mendengar nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

Ada juga disebut dalam itu, selain mendengar nasihat, Yang di-Pertuan Agong juga boleh mendapat mana-mana maklumat yang berkaitan dengan urus tadbir negara dalam Persekutuan.

Ini menunjukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong sangat besar, walaupun perlu mendapat nasihat tetapi boleh mendapat maklumat dan kemudian berbincang dengan Perdana Menteri.

Jadi, segala perkara berkaitan negara, Yang di-Pertuan Agong boleh mendapat maklumat daripada mana-mana pejabat atau kementerian.

Itu sahaja menunjukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong begitu luas walaupun tidak kira kuasa eksekutif tetapi cukup untuk melangsaikan atau melunaskan urus tadbir negara dalam konteks Perlembagaan yang dibenarkan.

Selain daripada itu, peranan Yang di-Pertuan Agong adalah menjadi 'Supreme Commander' (Pemerintah Tertinggi) dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Di sini, mungkin boleh diperkukuhkan lagi apakah peranan selain mengambil tabik hormat begitu sahaja, saya ingat mungkin boleh diperhalusi lagi peranan itu.

Saya akan memberi pandangan sendiri dan saya tidak boleh dedahkan.

Baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada cadangan menjadikan Yang di-Pertuan Agong sebagai Suruhanjaya 'Honorary' (Kehormat), yang akan dibincang di Parlimen dalam masa yang terdekat.

Ini untuk formaliti sahaja supaya Agong boleh pakai uniform polis.

Selain itu, hal-hal dalam bidang agama yang boleh diperkukuhkan lagi dan sepanjang pemerintahan kita tengok ada sedikit perubahan dari segi struktur Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang mana seorang sultan yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja Melayu telah dilantik sebagai pengerusi untuk dua tahun.

Dulu Perdana Menteri, sekarang Sultan Selangor. Ini sesuai dengan peranan untuk seorang sultan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama bagi negeri-negeri.


Al-Sultan Abdullah berkenan bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ketika berangkat ke Turkiye pada 16 Ogos 2022.
Al-Sultan Abdullah berkenan bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ketika berangkat ke Turkiye pada 16 Ogos 2022.

Tuanku juga terkenal di pentas antarabangsa dan mempunyai hubungan baik dengan ketua negara asing, malah berperanan besar dalam membantu Malaysia meningkatkan pelaburan dan perdagangan serta isu kemanusiaan sejagat. Sepanjang lima tahun ini, adakah Tuanku berpuas hati atau masih ada yang tidak sempat dibuat untuk membantu negara?

Untuk dua tahun pandemik Covid-19, kita tidak buat apa-apa. Saya mungkin hendak memberi pandangan sahaja.

Kadangkala saya fikir pertemuan dan mesyuarat ketua negara contohnya ASEAN, Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan sebagainya, mereka juga perlu pertimbangkan membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakili negara sebab ini adalah peringkat kebangsaan.

Saya kata itu kerana mungkin ia boleh dapat letak struktur Yang di-Pertuan Agong di peringkat antarabangsa (supaya) lebih dihormati. Yang mana satu, itu terbuka pada perdebatan.

Kadangkala yang berkaitan dengan perubahan iklim atau kemanusiaan, ia mungkin boleh diwakili oleh Yang di-Pertuan Agong.

Tidak semestinya semua tetapi itu cuma pandangan saya. Yang mana tadbir urus berkaitan kewangan atau keselamatan, itu mungkin boleh diwakili oleh Perdana Menteri atau menteri-menteri.

Saya tidak boleh hurai dengan lebih lanjut tetapi itu dipertimbangkan untuk jangka masa panjang. Kita semua menggambarkan sebuah negara yang baik pada masa ini.

Selain dari pergi ke kemangkatan atau pertabalan, itu formal sangat kadangkala.

Saya rasa kumpulan pemimpin yang kita ada pada hari ini, semuanya berpendidikan tinggi. Saya harap itu menjawab persoalan.


Yang di-Pertuan Agong melihat salah satu daripada tujuh buku nota yang ditulisnya setiap kali sesi Mesyuarat Pra-Kabinet.
Yang di-Pertuan Agong melihat salah satu daripada tujuh buku nota yang ditulisnya setiap kali sesi Mesyuarat Pra-Kabinet.

Adakah Tuanku pernah membangkitkan perkara ini atau dibincangkan di mana-mana peringkat?

Tidak pernah, ini pertama kali dibangkitkan tetapi sudah di pemikiran saya sepanjang lima tahun. Itu hanya pandangan saya sahaja untuk kita bincangkan dan sebagainya.

Permaisuri: Saya juga ingin katakan sesuatu. Tuanku dengan masalah negara, empat Perdana Menteri dengan banyak lagi perkara.

Saya rasa saya paling gembira apabila dia sudah pulang.

Ya betul. Biasanya buat dia pening kepala, sebab itu sebelah pihak itu mesti sentiasa tenang.

Jadi suri permai. Baru-baru ini Tuanku panggil saya ampuan suri pula. Main-main nama. Jujurnya kita berdua ada peranan.

Saya tidak pernah buka pun buku itu. Tuanku baca kertas Kabinet pun saya tidak masuk campur.

Saya kadang-kala ada tanya juga Tuanku pengalaman empat Perdana Menteri. Macam mana tiap-tiap Perdana Menteri semasa pra-Kabinet, tetapi Tuanku tidak cerita pada saya.

Yang di-Pertuan Agong: Tetapi keempat-empat Perdana Menteri itu semua berpengalaman. Kalau tengok latar belakang, semua ada dalam kerajaan untuk beberapa tahun.

Siapalah saya. Mula-mula saya masuk, saya tanya diri saya. Mereka semua dah berpengalaman. Saya tidak berpengalaman.

Saya jadi Sultan untuk 15 hari sahaja, kemudian menjadi agong. Jadi kamu semua kena faham dari mana asal saya.

Saya bukan menjadi sultan untuk berbelas tahun. Sultan untuk berbelas hari kemudian terus jadi Agong. Banyak benda yang saya tidak tahu, jadi saya terpaksa bertanya, mempelajari dan membaca.

Saya harap saya dapat menjawab segala soalan sedikit sebanyak dan ini bukan mudah untuk menjadi raja. Memang keadaan pada masa akan datang pun akan lebih mencabar. Saya boleh dapat bayangkan. Tetapi cabaran itu bagus untuk raja.

Rata-ratanya rakyat melihat Tuanku sentiasa tenang semasa berdepan cabaran-cabaran ini. Bagaimana Tuanku boleh setenang sedemikian?

Alhamdulillah, saya dididik supaya banyak bersabar dan apabila kita sembahyang, kita banyak berzikir dan sebagainya.Ini sedikit sebanyak membantu.

Saya bukan nak kata saya ini warak sangat tetapi amalan-amalan yang kita buat selama ini sekurang-kurangnya menenteramkan, itu yang benar.

Kalau ada mana-mana yang ragu-ragu, kita bersabar dulu dan bergerak ke hadapan. Itulah bagaimana saya mengendalikan situasi.

Tuanku telah menjunjung tinggi semangat syura (perundingan) dalam kalangan saudara Raja-raja semasa Tuanku berada di Istana Negara. Mengapa ini penting?

Itu satu soalan yang bagus. Apabila saya mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong, saya sedar iaitu lantikan saya ini dengan perkenan oleh Majlis Raja-Raja. Jadi, apa sahaja yang saya lakukan, pada masa yang sama saya bertindak bagi pihak Majlis Raja-Raja.

Ya, semua keputusan adalah keputusan Yang di-Pertuan Agong, cuma apa yang saya buat ialah saya menyatakan apa-apa isu, saya bermusyawarah, berbincang, menerima pandangan dan cadangan tetapi keputusan itu datang dari Yang di-Pertuan Agong sendiri. Itu sahaja yang saya buat.

Itu bukan keputusan Majlis Raja-Raja, bila sampai pada tahap Perdana Menteri atau apapun, ia adalah pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong. Bukan Majlis Raja-Raja.

Saya ingin perbetulkan di sini. Jangan salah tulis. Lantikan Perdana Menteri adalah lantikan Yang di-Pertuan Agong. Saya bincang, dengar pandangan dan saya memaklumkan keputusan saya. Itu sahaja.

Adakah Kerajaan Perpaduan ini dicadangkan oleh Tuanku? Atau adakah ia antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berbincang dan membuat keputusan?

Idea bila Kerajaan Perpaduan mula-mula dibincangkan bukan baru-baru ini.

Saya ingin mengatakan di sini bahawa ia adalah sejak semasa Ismail Sabri lagi. Kemudian saya telah memanggil semua pemimpin.

Pada masa yang sama, Sultan Perak juga ada, supaya ditubuhkan satu Kerajaan Perpaduan.

Walaupun ketika itu Ismail Sabri kata dia ada majoriti sokongan 114 atau 116 kerusi, tetapi saya fikir ia masih lagi sangat marginal (sedikit). Ia lebih sihat jika ia dua pertiga atau lebih dari marginal majoriti. Jadi Kerajaan Perpaduan diwujudkan pada masa itu.

Bila sampai ke pilihan raya ini, saya hendak satu keadaan harmoni dalam negara kita ini.

Seharusnya ia bermula dari Parlimen lagi, kita tidak boleh terus bergaduh atau berlainan pemikiran.

Kita nak majukan dan meningkatkan nama baik negara kita. Berbalik kepada selepas pilihan raya, ketika itu tidak ada majoriti tunggal.

Jadi apa yang saya buat adalah tawar kepada semua parti dan saya mulakan dengan pimpinan Muhyiddin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Saya tak nak bangkitkan lagi tetapi kerana dia tolak sebulat-bulatnya.

Apa lagi pilihan yang saya ada? Jadi kena stabil, siapa yang boleh mewujudkan kerajaan.

Saya juga maklum kepada Anwar ketika itu, tawarkan juga kepada parti Muhyiddin dan Pas tetapi apakan daya, sekadar apa yang boleh saya buat.

Selebihnya itu, terpulang kepada kebijaksanaan pemimpin politik. Niat saya itu sahaja, kalau boleh saya nak semua sekali parti dijadikan satu kerajaan yang kuat dan kukuh supaya kita boleh meneruskan pembentukan kerajaan yang stabil dan negara yang berjaya.

Namun saya harap ini masih lagi boleh diusahakan. Kita tidak boleh menyerah. Soal siapa Perdana Menteri, itu terpulang kepada pucuk pimpinan.

Bukan Yang di-Pertuan Agong yang memilih Perdana Menteri. Sebenarnya yang memilih adalah wakil rakyat, mereka akan cadangkan nama, bukan Agong.

Jadi, tolong dapatkan fakta yang betul. Agong tidak boleh melantik Perdana Menteri sewenang-wenangnya. Kalau begitu, senang tak payah ada Parlimen. Kita sudah bahagikan macam mana kuasa Agong, kuasa legislatif, jadi itu yang saya lunaskan.

Apakah Tuanku melihat Kerajaan Perpaduan ini menepati hasrat Tuanku terutamanya dari sudut ekonomi dan perpaduan antara rakyat di Malaysia?

Bukan senang untuk kita ukur dalam masa setahun, saya ingat mana-mana kerajaan atau Perdana Menteri pun, kalau beri ukuran setahun, sudah tentu masih lagi ada kelemahan di sini dan di sana.

Jadi apa yang Perdana Menteri cuba buat adalah mengurangkan atau kalau boleh dimansuhkan segala masalah-masalah legasi, kalau boleh. Itu utamanya.

Dalam setahun, mungkin tidak boleh buat dengan sewenang-wenangnya. Ia berlandas pada peraturan, kontrak dan sebagainya.

Namun yang penting adalah kerajaan hari ini perlu ada 'master plan' jangka panjang, lima tahun, 10 tahun dan selepasnya.

Kita tahu ada banyak perancangan. Antaranya ialah mungkin ada juga dasar-dasar yang mungkin tidak popular tetapi kadangkala kerajaan terpaksa membuat keputusan yang tidak popular untuk kebaikan negara masa akan datang.

Saya harap ini kerajaan perlu telus memberi kefahaman kepada rakyat di luar sana.

Dari segi jangka panjang macam mana. Kalau zaman dahulu, mantan Perdana Menteri ada kata hendak buat 'high income nation' (negara berpendapatan tinggi) dan seterusnya.

Macam Perdana Menteri sekarang, dia hendak mengurangkan subsidi. Subsidi bersasar. Itu satu dasar yang agak drastik.

Saya pun memahami perasaan orang di bawah ini. Sebenarnya bukan untuk mengambil hak B40 tetapi lebih kepada orang yang di atas.

Itu hasrat utama yang sebenar. Ini semua adalah pembaharuan yang cuba hendak diperkenalkan dan kita harus memberi masa untuk tengok kebaikan dan keburukan ini.

Bagaimana Tuanku melihat peranan dan fungsi Yang di-Pertuan Agong sekarang yang bukan saja dilihat sebagai simbol perpaduan negara?

Saya rasa institusi ini begitu penting bagi negara yang berbilang kaum, bangsa dan agama ini.

Saya fikir kita perlu ada institusi ini dan itu mesti ditegakkan demi anak bangsa dan generasi akan datang.

Kalau boleh ia diperkukuhkan lagi, bukan dengan memberi lebih kuasa tetapi maknanya kalau ia boleh diperkukuhkan, maka kita perlu buat.

Bukan individu itu perlu diperkukuh, tetapi institusi itu sendiri. Jadi jangan salah faham.

Agong akan datang dan pergi. Selepas lima tahun, akan berangkat balik dan pulang ke negeri asal.

Jadi institusi ini bukan perlu didewakan tetapi diperkukuhkan supaya sistem ini kekal memayungi rakyat dan pentadbiran. Ia juga perlu difahami oleh bakal Agong yang akan datang dan lebih dari itu.

Tuanku pernah menyatakan hendak memperkukuhkan institusi, apa yang mungkin boleh dipertingkatkan?

Itulah kalau saya cakap, nanti dikata Agong hendak kuasa lebih. Bukan saya mahu diberi kuasa lebih tetapi ringkas sahaja, di sekolah beri didikan kepada anak muda, seperti dulu. Beri sejarah peranan raja-raja dan pemimpin.

Jangan sebelah pihak sahaja. Dahulu ada semasa di sekolah, sekarang sudah tidak ada.

Bagikan sejarah susunan, adakan diskusi raja-raja dan institusi supaya dapat memperkukuhkan. Tetapi bukan hendak suruh menghentam, itu saya rasa kita semua cuba untuk bertindak di bawah lingkungan Perlembagaan. Raja-raja juga, perlu tahu peranan mereka.

Saya bukan kata saya hendak katakan diri sempurna tetapi saya ingin menasihatkan diri saya dan raja-raja lain juga supaya kita semua perlu tahu peranan kita menyantuni rakyat lebih dekat, mendengar masalah, bantu rakyat dan seterusnya.

Jadi kita harap pada yang muda-muda. Dampingilah istana dan institusi istana, jangan jauhi sebab itu semua hak rakyat.

Selepas Langkah Sheraton, kini timbul pula Langkah Dubai untuk menjatuhkan kerajaan. Apakah rakyat perlu terus hidup dalam ketidaktentuan politik ini?

Kita tidak seharusnya hidup seperti itu. Kita tidak sepatutnya membuat apa-apa spekulasi.

Saya tidak tahu sama ada itu benar atau tidak tetapi mari kita melangkah ke hadapan (move on). Kerajaan kena memimpin dan terus mentadbir urusan negara. Jangan berpolitik sangat.

Kepada semua ahli politik, kurangkan berpolitik. Elok fokus dalam memajukan ekonomi negara, mengharmonikan rakyat dan menyatukan rakyat semua kaum. Jangan menjadi terlalu berfikiran sempit. Itulah antara nasihat keramat saya.

Saya juga berasa sedih hendak tinggalkan rakyat kerana rakyat tidak bersatu. Saya harap ini dapat diusahakan secara berterusan.

Ada juga segelintir rakyat yang mungkin tidak menghormati dan kadangkala yang membangkitkan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R). Apakah nasihat dan pandangan Tuanku kepada rakyat?

Saya fikir jangan keterlaluan, biarlah ada batas. Saya memahami kadang-kala banyak perasaan tidak senang tetapi buatlah dengan cara yang berpatutan. Jangan suka-suka melontarkan fitnah dan kata-kata kesat, itu tidak molek di kaca mata orang awam.

Kita cuba setiap tahun menonjolkan elemen-elemen beradab dan sopan, jadi kita kena patuh. Jangan ikut cara Barat atau kaum-kaum lain.

Kita mempunyai kesopanan dan itu ternyata dalam Rukun Negara kita. Jadi kita perlu ikut apa yang nenek moyang mengajar kita.

Bercakap soal menyantuni rakyat dan sebagainya, nampaknya aspek itu ada dalam DNA Tuanku. Apa sebenarnya tip yang digunapakai oleh keluarga Tuanku sendiri?

Itu semua adalah anugerah ALLAH SWT dan juga dukungan rakyat. Mereka semua bagi sokongan dan selalu mendampingi. Ini semua dari zaman nenda saya, kemudian anak saya pun akan jadi lebih baik dari saya.

Jadi, saya perlu akui ayahanda saya ada bagi banyak masa dan banyak peluang untuk tadbir urus sedikit sebanyak peranan saya sebagai Tengku Mahkota di Pahang.

Apabila Almarhum ayahanda tamat sebagai Yang di-Pertuan Agong, Almarhum banyak berada di luar negara.

Jadi saya terpaksa bertugas di Pahang. Sebab itu kalau musim hujung tahun saya tidak ke mana-mana. Dari dulu lagi. Sebab itu tahun ini, saya di sini. Saya tidak ada di Dubai.

Adakah keterbukaan Tuanku bertemu rakyat secara dekat yang diamalkan Tuanku berdua dan keluarga sewajarnya dicontohi kerana ia memberi impak yang sangat positif di antara hubungan pemimpin dan rakyat?

Itu cara saya daripada muda. Kalau ada mana-mana pemimpin mahu ikut, itu terpulang. Saya di Pahang, apabila ada mana-mana kemalangan, saya akan berhenti, angkat dan bawa ke hospital.

Kalau terbakar, saya akan tolong, itu cara saya tetapi orang tak perlu tahu. Saya juga tidak perlu umum.

Kalau orang hendak ikut, Alhamdulillah. Lebih ramai orang menyantuni rakyat, lebih baik. Bukan bermusim-musim.

Mengenai Program Kembara Kenali Borneo, bagaimana Tuanku mengilhamkan hasrat dalam menyantuni rakyat Sabah dan Sarawak? Apakah matlamat itu tercapai? Mungkin boleh ceritakan pengalaman Tuanku dan Permaisuri Agong?

Saya sebenarnya memang ilhamkan itu daripada awal saya menjadi Agong.

Missclyen, 2, dikenal pasti menghidap sindrom Congenital Generalised Hypertrichosis. - Foto Bernama
Missclyen, 2, dikenal pasti menghidap sindrom Congenital Generalised Hypertrichosis. - Foto Bernama

Saya berbincang dengan Permaisuri dan saya nyatakan dalam lima tahun ini, saya nak buat lawatan dari Sabah ke Sarawak kerana sepanjang hayat saya, sebab dulu saya terlibat dengan bola dan sebagainya, saya pergi ke Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak sahaja.

Saya tidak keluar dari situ. Semenjak muda sampai sekarang. Sekarang ini, terlintas dalam fikiran, kenapa saya tidak pergi luar daripada Kota Kinabalu dan Kuching?

Jadi itulah menjadi hasrat saya untuk melihat keadaan di sana. Bukannya ada objektif lain, cuma hendak tengok macam mana kecantikan luar.

Tengok orang kampung, makanan mereka dan cara mereka bercakap, jadi saya akui itu satu pengalaman yang cukup manis bagi saya. Kenangan akhir hayat saya.

Kadangkala bila saya tidak buat apa-apa tengah malam, saya tengok dia (Permaisuri Agong) imbau kembali menangis juga, sayu teringat sambutan yang diberi luar jangkaan sangat.

Saya cukup berterima kasih. Suatu hari kita fikir mungkin akan pergi balik semula tetapi sikit-sikit sahaja, tidak jauh seperti hari itu.

Tetapi pemandangan Sabah dan Sarawak sangat cantik, itu perlu saya nyatakan.

Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong berkenan menyantuni adik dan insan istimewa Missclyen Roland di pekarangan Masjid Al-Falah, Kampung Penan Muslim Batu 10, Bintulu, ketika Kembara Kenali Borneo pada 10 September 2023. - Foto Instagram Istana Negara
Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong berkenan menyantuni adik dan insan istimewa Missclyen Roland di pekarangan Masjid Al-Falah, Kampung Penan Muslim Batu 10, Bintulu, ketika Kembara Kenali Borneo pada 10 September 2023. - Foto Instagram Istana Negara

Jadi memang saya fikir mahu buat pada awal pemerintahan saya tetapi masa itu pandemik Covid-19 berlaku dan keadaan politik tidak stabil. Saya pun tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak.

Dalam pada itu, saya dapat banyak surat-surat rungutan dan rayuan. Ini adalah tindakan susulan (follow up), saya baru dapat semalam dan saya tidak pergi lebih terperinci lagi.

Semua surat rungutan itu ada di sini dan tindakan berhubung rayuan itu. Saya akan baca dan akan tengok macam mana.

Jadi saya nak tunjukkan segala yang diusahakan oleh kerajaan.

Apa perasaan Tuanku apabila melihat ada jurang dalam kehidupan rakyat di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak sepanjang pengembaraan Tuanku?

Yang di-Pertuan Agong: Saya ada jawapannya. Kita di Semenanjung ini harus bersyukur kerana segala kemudahan ada. Tetapi kita tidak salahkan sesiapa.

Kita tengok saiz sahaja. Sabah dan Sarawak adalah dua kali ganda besar saiz berbanding Semenanjung.

Bayangkan kalau nak buat jalan dari bandar A ke bandar B.

Di Semenanjung, katalah dari bandar A ke bandar B adalah 200 kilometer (km), di sana dua kali ganda. Maknanya kos pun akan jadi dua kali ganda. Sebab itu peruntukan semua dua atau tiga kali ganda di sana.

Jadi memantau projek-projek dan fail adalah sangat penting. Kalau tidak buat itu memang akan ketinggalan dan saya begitu simpati sekali setelah mendengar dan melihat sendiri.

Tengok ada rumah panjang terbengkalai di tepi lebuh raya, sekolah cantik tetapi ada yang menjerit “Tuanku, Tuanku, di sini sudah lapan hari tidak ada air.”

Ya, bukan di sana sahaja, di sini (Semenanjung) pun tidak ada air juga tetapi di sana lebih memerlukan. Saya juga berterima kasih kepada kerajaan mengenai jambatan pecah.

Semasa lawatan kita, kita tengok jambatan pecah, Alhamdulillah kerajaan Persekutuan akan membina jambatan baharu dengan harga RM13 juta, bagi memudahkan orang kampung.

Permaisuri: Dalam perjalanan Tuanku dan saya, dari Tawau, Sabah ke Teluk Melano, Sarawak. Macam dalam kereta bila kita berhenti, ada orang kampung ambil air mineral dan kirimkan kepada Tuanku, takut Tuanku haus. Ada yang bagi makanan, takut Tuanku tidak ada makanan. Risau takut kita lapar.

Yang di-Pertuan Agong: Nasi bungkus yang saya makan tepi jalan seperti dalam gambar baru-baru ini. Itu pun dari orang yang bagi di tepi jalan.

Permaisuri: Begitu juga waktu hujan, Tuanku sampai terpaksa memandu kereta perlahan sebab masa memandu mereka melintas ikut suka mereka sahaja. Tuanku dan saya takut terlanggar.

Yang di-Pertuan Agong: Kebanyakan mereka juga datang dari jauh. Ada yang sejauh sehingga lima atau enam jam dari satu lokasi. Ada yang bawa anak, cucu, dan ada yang berkerusi roda. Keadaan di situ memang mengharukan.

MISSCLYEN ROLAND, KANAK-KANAK ISTIMEWA JADI ANAK ANGKAT YANG DI-PERTUAN AGONG DAN PERMAISURI

Bila Tuanku bercerita mengenai kembara di Sabah dan Sarawak itu, Tuanku juga difahamkan ada mengambil anak angkat?

Permaisuri: Ada, saya ada ambil anak angkat. Saya sepatutnya pergi pada bulan lepas untuk berjumpa tetapi saya terlepas kerana ada program.

Jadi bulan Februari atau Mac baru saya akan pergi. Kadangkala saya ada telefon Missclyen Roland (anak angkat) dan ayahnya.

Cuba untuk selalu hubungi. Saya dan Tuanku akan tanggung (kos perubatan dan pelajaran) dia.

Yang di-Pertuan Agong: Hendak mencari ubat untuk perubatan Missclyen itu, kita tidak tahu macam mana. Siapa kita hendak hubungi.

Bagaimana Tuanku dan Permaisuri Agong berjumpa dengan mereka pada ketika itu? Mungkin boleh ceritakan?

Permaisuri: Sebenarnya saya dan Tuanku berada di dalam masjid, jadi bila keluar Tuanku tidak perasan sebab ramai yang hendak bersalam dengan Tuanku. Masa itu dia datang dekat dengan saya, saya mahu panggil Tuanku tetapi Tuanku sudah jauh di depan.

Jadi saya tarik Tuanku ke belakang dan saya dukung budak itu. Saya kata “Tuanku, mari tengok ini” dan Tuanku memang tidak pernah jumpa (keadaan) seperti itu. Tuanku pun terperanjat.

Budak itu memang baik sangat tetapi bila saya dukung itu, saya rasa sayang dan kasihan pada dia.

Sebab itu masa balik, saya kata pada Tuanku, saya nak ambil sebagai anak angkat.

Saya nak tanggung pelajaran, perubatan dan jaga dia. Kita ambil dari keluarga dia dan kita carikan perubatan, nak tolong dia.

Tuanku dan Permaisuri Agong sering melibatkan paduka anakanda sekali dalam majlis sama ada menyantuni rakyat atau Program Kembara Kenali Borneo. Apa nilai yang diterapkan kepada paduka anakanda? Bagaimana Tuanku melihat nilai itu dapat diterapkan?

Yang di-Pertuan Agong: Pertama sekali, apa-apa program saya cuba nak bersama dengan keluarga saya. Itu saja masa yang kita dapat.

Saya selalu dengan keluarga. Makan dengan keluarga, bersukan pun dengan keluarga, apa lagi program menyantuni rakyat.

Mana-mana program saya dengan rakyat, saya cuba bawa anakanda saya. Dia pun hendak ikut juga kadang-kala. Jadi itu sudah menjadi cara keluarga.

Permaisuri: Mungkin saya boleh bercakap mengenai perkara ini. Saya kahwin dengan Tuanku sudah masuk 38 tahun.

Dari awal kahwin lagi, Tuanku heret saya pergi ke kampung. Pergi sini, pergi sana dengan cara santai. Kita letak tepi soal protokol.

Apabila ada anak, kita bawa anak sekali. Ada masa dulu Tuanku ada program Tuanku dan saya pun sibuk dengan program saya di Pahang.

Kadang-kala saya baru balik, Tuanku naik kereta keluar. Kadangkala kita pernah selisih di pintu keluar masuk Istana.

Jadi anak-anak kecil selalu tengok. Selalu soal “mama dan abah tidak penat ke?”

Dari awal perkahwinan, Tuanku menggalakkan saya untuk keluar berjumpa dengan rakyat. Jadi saya Alhamdulillah walaupun pemangku raja itu muda, Tuanku lagi muda masa menjadi pemangku raja, semasa ayahanda menjadi Agong.

Tuanku baru berumur 20 tahun, usia muda lagi dan Tuanku pada masa itu bekerja keras di Pahang.

Amarhum ayahanda memberi galakan kepada Tuanku. Buat sahaja kerja, bukan Almarhum ajar. Tuanku lakukan dengan inisiatif sendiri.

Jadi bila Tuanku jadi Agong, saya tunggu juga apa yang perlu anak saya kena buat. Dan Alhamdulillah saya tidak tahu macam mana dengan kerabat lain, tetapi kita tidak beritahu dia (pemangku raja) apa yang dia kena lakukan.

Dia tahu apa kerja perlu buat. Dari dia kecil lagi saya sudah kata, dia dilahirkan untuk berkhidmat kepada rakyat. Jadi tidak perlu saya dan Tuanku beritahu, sekarang, hari ini pun dia ada dekat Rompin, esok ada dekat Lipis.

Jadi dia sudah pun ada DNA seperti mana Tuanku dapat dari Almarhum ayahandanya. Jadi itu adalah Pahang punya amalan. Saya lega kerana saya berkahwin dengan keluarga yang hebat ini.

Ya betul. Tuanku paling banyak beri galakan apabila saya lakukan sesuatu. Sebab tadi ada yang tanya pasal kertas Kabinet, sudah lima tahun sekarang.

Tiap-tiap minggu saya tidak boleh kacau sampai sakit tengkuk. Pakai kolar, baca kertas Kabinet dari satu muka surat ke satu muka surat. Sudah tujuh buku.

Yang di-Pertuan Agong: Saya terpaksa nyatakan di sini, isteri saya pun adalah tiang untuk kekuatan saya. Ketika krisis, Covid-19, permaisuri juga banyak memberi semangat kepada saya.

Setiap majlis Tuanku memuji kepada Permaisuri Agong, mengatakan bahawa Permaisuri adalah sebahagian penting dari Tuanku. Bukankah Tunku Azizah seorang permaisuri yang sempurna?

Yang di-Pertuan Agong: Sudah tentu. Sudah tentu. Perkara-perkara yang dia telah lakukan, adalah peranan yang luar biasa sebagai seorang permaisuri dan sebagai isteri saya. Saya bersetuju bahawa dia beri semangat kepada saya untuk meneruskan tugasan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Banyak perkara yang saya berbincang dengan Permaisuri, perkara-perkara yang saya tidak boleh nyatakan di sini. Dia juga menasihatkan saya macam ini, macam itu. Bercakap dan berbincang. Saya yang membuat keputusan, bukan dia.

Permaisuri: Saya suri permai. Bukan permaisuri. Saya suri dalam rumah. Saya jaga makan, tentukan kerja rumah. Tuanku jaga negara, saya jaga rumah.

Yang di-Pertuan Agong: Peranan permaisuri begitu menyerlah sekali. Menyantuni rakyat, kaum wanita dan lebih dekat di hati adalah menyantuni banduan. Banyak lagi tugasan.

Seperti sebagai ibu, isteri dan saya akui banyak sokongan, dukungan dan semangat yang diberi oleh permaisuri terhadap saya. Alhamdulillah saya bersyukur. Terima kasih.

Kita lihat pentingnya peranan Tunku Azizah dalam membantu Yang di-Pertuan Agong. Begitu juga, kita nampak Tunku Azizah merupakan tokoh kegemaran yang telah membuat banyak sumbangan di peringkat antarabangsa. Jadi secara tidak langsung itu, adakah itu juga minat Tuanku Azizah?

Permaisuri: Sebenarnya yang minat itu, Tuanku. Tuanku yang suruh kerana masa mula-mula awal saya kahwin dengan Tuanku, proses mendapatkan anak itu mengambil masa yang begitu lama.

Jadi suatu hari, Tuanku datang dekat saya dan bertitah, "Saya rasa awak patut buat sesuatu tentang Tenun Pahang". Jadi saya kata okay.

Kemudian saya pergi dan saya mula jatuh cinta dengan itu. Itulah bagaimana bermulanya perjalanan itu tetapi saya tidak dapat lakukan itu seorang diri tanpa kerajaan.

Kalau saya tidak ada minat itu dalam diri, saya tidak akan boleh pergi jauh. Jadi untuk seseorang menerajui sesuatu, kena ada minat. Bukan sekadar pegang untuk melawa sahaja. Itu adalah kerja keras. Tuanku memberi galakan untuk apa sahaja yang saya buat, sama ada memasak atau lain-lain.

Galakan yang Tuanku beri kepada saya adalah kebebasan tetapi saya tahu batas saya. Tuanku tetap bos.

Mungkin Tuanku boleh kongsikan, apabila kembalinya ke negeri Pahang nanti, apa antara perancangan yang Tuanku mahu lakukan?

Yang di-Pertuan Agong: Banyak kerja. Seperti yang saya kata tadi, saya baru 15 hari menjadi Sultan Pahang. Jadi rakyat Pahang menanti-nanti saya. Itu yang benar.

Permaisuri: Tuanku memang tidak sabar untuk melawat tiap-tiap daerah. Memang tidak sabar kami berdua.

Yang di-Pertuan Agong: Banyak yang perlu diperbaiki dan dimajukan. Bantu rakyat miskin. Ramai lagi rakyat miskin di Pahang.

Saya tidak boleh meminta perancangan yang lebih baik. Tetapi saya boleh meminta lebih banyak, itu sahaja yang boleh saya katakan. Jika kita lebih baik dan pastinya saya berharap agong seterusnya dan bakal Agong akan lebih baik daripada saya.

Pastinya Permaisuri akan bersetuju dengan saya. Selamat maju jaya.

Sebelum saya merumuskan ucapan saya, saya suka memetik kata-kata ayahanda saya bahawa "Bukan saya tidak cintakan Malaysia tetapi kami lebih sayangkan Pahang," itu nukilan ayah saya.

Sekali lagi, kata-kata saya sekarang, selepas bulan Januari ini, mungkin saya bukan lagi Raja kepada Malaysia, tapi jika diizinkan, hasrat saya ialah untuk menjadi Raja di hati anda semua. Itulah petikan ayat saya.

Permaisuri: Bersyukur kerana ALLAH SWT telah memberi kita ruang untuk menerajui negara selama lima tahun. Minta maaf kalau ada apa-apa kekurangan.

Saya akan rindu semua orang di Istana Negara sebab mereka menjadi kawan saya sepanjang lima tahun ini.

Saya berkawan dengan tukang masak dan semua orang.

Mereka semua umpama keluarga saya dalam tempoh lima tahun ini. Saya akan rindukan mereka.