Mat Sabu hadiri majlis pengebumian Raisi

Anwar ketika berhubung dengan Mokhber menerusi panggilan telefon.
Anwar ketika berhubung dengan Mokhber menerusi panggilan telefon.
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu akan mewakili Malaysia ke Iran bagi menghadiri majlis pengebumian Presiden Ebrahim Raisi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghubungi Presiden Interim Iran, Mohammad Mokhber bagi merakamkan ucapan takziah.

Menerusi hantaran di laman sosial pada Selasa, Anwar mengimbau pertemuan sebanyak dua kali dengan Allahyarham Raisi dan Menteri Luar Iran, Allahyarham Hossein Amir-Abdollahian pada tahun lepas di New York dan Riyadh.

"Saya telah memberi jaminan kepada Mokhber bahawa Malaysia akan meneruskan komitmen yang dibuat kepada Iran di bawah kepemimpinan Almarhum Presiden sebelum ini," katanya.

Ujar beliau, Mokhber merakamkan penghargaan kepada Malaysia di atas perutusan budi dan takziah sementalahan menyifatkan kedua-dua negara adalah rakan strategik yang menyanjung hubungan politik dan ekonomi yang sangat tinggi.

"Beliau turut berduka di atas kehilangan dua orang kenamaan besar dalam kemalangan tragis dan malang itu selain meninggalkan pengaruh yang sangat kuat di Iran.

"Di akhir perbualan, beliau memberi jaminan bahawa hubungan baik dan kerjasama dengan Malaysia akan tetap dipelihara lantas diperkukuh," katanya.

Raisi ditemukan maut bersama Hossein pada Isnin selepas helikopter dinaiki mereka terhempas di kawasan pergunungan di barat laut Iran.

Artikel Berkaitan:

Menurut agensi berita Iran, IRINN dan Mehr News, tiada mangsa yang terselamat ditemui di lokasi nahas helikopter itu.

Reuters melaporkan, seorang pegawai kerajaan Iran memaklumkan bahawa helikopter yang hilang itu ditemui 'terbakar sepenuhnya'.

Ketua Bulan Sabit Merah Iran berkata, helikopter membawa Presiden Iran, Ebrahim Raisi, telah ditemui tetapi keadaannya 'tidak baik'.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!