Selangor tetapkan capaian 5G di kawasan industri cecah 80 peratus

Amirudin ditemui media ketika hadir pada sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Selasa. Foto Bernama
Amirudin ditemui media ketika hadir pada sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor yakin capaian perkhidmatan rangkaian 5G di kawasan perindustrian di negeri itu mampu mencecah 80 peratus pada akhir tahun ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, sebagai sebuah negeri yang ekonominya berasaskan kepada perindustrian serta perusahaan kecil dan sederhana, pihaknya memberi tumpuan khusus bagi meningkatkan kapasiti atau kadar capaian di kawasan itu untuk dimanfaatkan oleh pemain industri.

"Saya sudah panggil Dr Mohammad Fahmi Ngah (Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri) untuk mengetahui sejauh mana keberkesanan capaian 5G di kawasan industri sebab rangkaian ini biasanya adalah untuk keperluan perindustrian berbanding domestik.

"Minggu hadapan akan dibentangkan berkaitan maklumat dan usaha-usaha itu. Kerajaan negeri akan perkemas langkah meningkatkan capaian liputan rangkaian 5G di Selangor dengan tumpuan diberikan kepada kawasan industri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini pada Selasa.

Amirudin berkata, beliau tidak hanya melihat kepada peningkatan angka atau peratusan liputan semata-mata semasa pembentangan kelak, sebaliknya lebih menjurus kepada kualiti liputan atau kesalinghubungan rangkaian 5G bagi tujuan perindustrian kawasan terbabit.

Beliau berkata, selepas kawasan perindustrian, tumpuan akan diberikan terhadap usaha meningkatkan akses dan capaian rangkaian 5G di kawasan strategik dan berkeperluan khusus lain yang dimulai dengan kawasan pendidikan diikuti perniagaan atau komersial.

"Walaupun di beberapa lokaliti liputan sedikit bermasalah, kita yakin dengan kerjasama semua pihak kita boleh capai 80 peratus capaian liputan 5G bagi kawasan terbabit tahun ini," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: