Rosyam Nor menangis tengok lakonan sendiri

Rosyam Nor Membawakan watak utama sebagai Cikgu Sunan dalam filem adaptasi novel Memoir Seorang Guru yang bakal ditayangkan pada 30 Mei ini.
Rosyam Nor Membawakan watak utama sebagai Cikgu Sunan dalam filem adaptasi novel Memoir Seorang Guru yang bakal ditayangkan pada 30 Mei ini.
A
A
A

"JARANG saya tengok lakonan sendiri saya menangis, " demikian luahan perasaan pelakon hebat, Datuk Rosyam Nor selepas pertama kali menonton filem terbarunya Memoir Seorang Guru, yang bakal menemui penonton pada 30 Mei ini.

Membawakan watak utama sebagai Cikgu Sunan dalam filem adaptasi novel bertajuk sama, pelakon berpengalaman lebih 38 tahun itu mengakui berdepan dengan cabaran besar untuk menghidupkan watak berkenaan.

"Watak ini terlalu sukar untuk saya, dia mellow tapi orang nak kena feel, (apabila menonton tadi) saya tak melihat saya (sebagai Rosyam Nor) dalam tu sebaliknya saya lihat Cikgu Sunan. Selepas suku yang pertama, air mata asyik meleleh saja, walaupun scene tu hanya bercakap tapi dialognya menyentap.

"Saya dah pernah berlakon banyak dan bawa watak sedih, tapi sedih kali ini berbeza, ia tak dipaksa, sedihnya terlalu dalam, saya rasa mungkin jiwa novel ini juga (mempengaruhi), " katanya kepada pemberita pada malam gala filem tersebut malam tadi.

Ditanya tentang babak yang paling menyentap jiwa secara peribadi, pelakon berusia 57 tahun itu merujuk kepada babak Cikgu Sunan membuang semua ego dan memohon kemaafan daripada anak muridnya.

Menurut Rosyam, populariti novel karya penulis terkenal Allahyarham Azizi Abdullah turut menambah tekanan sebagai teraju utama selain cabaran untuk mengekalkan graf lakonan sepanjang pengambaran.

"Ini novel terkenal dan pernah menjadi bahan sastera pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) suatu ketika dahulu, serta ada pengikutnya. Kalau saya gagal, 'habis' kerjaya saya, setiap babak dalam filem tu mencabar saya," katanya yang juga menjadikan karakter gurunya ketika dia di bangku sekolah sebagai panduan bagi menjayakan watak tersebut.

Sering muncul dalam filem aksi di layar perak, pelakon KL Gangster 2 dan KL Special Force itu menambah, kualiti naskah Memoir Seorang Guru, karakter menarik selain kepercayaan kepada pengarah Kyoll Hamzah menjadi faktor beliau bersetuju untuk menjayakan watak berkenaan.

"Saya mencari naskah yang boleh mengekalkan dan melonjakkan nama saya, bayaran dah jadi nombor dua, bagi saya hasil yang akan kekal selamanya.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya filem ini juga 'menakutkan' saya, selepas 39 tahun bergelar pelakon, filem ini boleh menghilangkan nama Rosyam Nor dan filem ini juga boleh mengangkat Rosyam Nor," katanya yang belum puas dengan hasil lakonan dan masih mahu mencabar diri dengan karakter berlainan pada masa akan datang.

Memoir Seorang Guru arahan Kyoll Hamzah mengisahkan tentang seorang guru bandar, Cikgu Sunan yang ditukarkan ke sebuah sekolah di pedalaman dan ditugaskan menjadi guru kelas di kelas paling corot.

Filem terbitan Tanah Merah Ventures Sdn Bhd dan KalamAriff Holdings Sdn Bhd itu turut menampilkan barisan pelakon kanak-kanak serta pelakon popular lain seperti Nabila Huda, Johan As’ari, Zul Huzaimi, Hariz Hamdan dan Trisha Ooi. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!