Scammer makin berani guna nama individu terkenal

Laporan Sinar Harian mengenai kes berkenaan.
Laporan Sinar Harian mengenai kes berkenaan.
A
A
A

TAKTIK sindiket penipuan menggunakan nama individu terkenal atau selebriti bagi menjerat mangsa dilihat semakin berleluasa.

Terbaharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan wujud iklan promosi satu produk kesihatan palsu dengan memanipulasi gambar dan nama syarikat pakar kesihatan terkenal di negara ini.

Hal ini terbongkar selepas pihak polis mendapat maklumat daripada seorang pakar kesihatan yang juga selebriti bahawa gambar dan nama syarikat miliknya digunakan tanpa kebenaran dalam promosi satu produk kesihatan.

Lebih membimbangkan, produk tersebut boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, segelintir pihak mengambil kesempatan menipu orang ramai menggunakan media sosial.

Selain itu, Mei tahun lalu, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli membuat laporan polis selepas gambarnya digunakan dalam iklan bagi mempromosi satu skim pelaburan patuh syariah menerusi media sosial.

Berdasarkan laporan Sinar Harian, boleh dikatakan saban tahun, kes yang menggunakan modus operandi penyamaran sedemikian dilaporkan berlaku.

Pada tahun 2022, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan tawaran pelaburan runcit yang dipromosi di media sosial, termasuk menggunakan selebriti atau pempengaruh.

Artikel Berkaitan:

Diingatkan, di bawah undang-undang Malaysia, mana-mana syarikat atau individu yang mahu menyediakan produk dan perkhidmatan pasaran modal kepada pelabur Malaysia, seperti unit amanah, saham, pelaburan digital, bon, mesti dilesenkan atau berdaftar dengan SC.

Sebelum ini, PDRM telah mendedahkan kewujudan pelbagai iklan pelaburan saham ‘Islamik’ dan ‘patuh syariah’ yang disiarkan secara berleluasa di beberapa platform media sosial dengan menggunakan individu-individu ternama termasuklah ahli politik, agamawan, selebriti, tokoh korporat.

Berdasarkan statistik dikeluarkan PDRM, modus operandi itu dikesan sepanjang tahun 2020 hingga Mei 2023 membabitkan 186 kes dengan kerugian keseluruhan RM5,411,571.61 juta.

Oleh itu, orang ramai perlu lebih berwaspada dan sentiasa melakukan semakan supaya tidak mudah terjerat dengan iklan-iklan yang menggunakan 'nama besar' untuk membuat untung.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!