Perintah larangan: Che'gu Bard akan rayu keputusan mahkamah

Muhammad Rafique (kiri) bersama Che'gu Bard pada sidang akhbar selepas keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Isnin.
Muhammad Rafique (kiri) bersama Che'gu Bard pada sidang akhbar selepas keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Che'gu Bard, 45, akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru, yang mengeluarkan perintah larangan bersuara berhubung kes kasino Forest City, Iskandar Puteri.

Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, permohonan rayuan akan dibuat dalam tempoh 14 hari, selepas merasakan ada bukti lain bagi meneruskan rayuan tersebut.

"Hari ini merupakan keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru dan kita akur dan maklum serta hormati keputusan hakim.

"Namun pelbagai strategi atau perkara dari segi perundangan yang boleh dilakukan termasuk merayu kepada Mahkamah Rayuan, Putrajaya," katanya pada sidang akhbar selepas keputusan Mahkamah Tinggi pada Isnin.

Muhammad Rafique memberitahu akan menggunakan sebaiknya tempoh 14 hari untuk melihat strategi terbaik untuk rayuan tersebut.

Mahkamah Tinggi Johor Bahru, pada Khamis menetapkan keputusan perintah larangan bersuara terhadap Che'gu Bard pada Isnin, selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Pihak pendakwaan memohon semakan perintah larangan bersuara terhadap Badrul Hisham dari membuat atau mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kes yang sedang dihadapinya, selepas Mahkamah Seksyen menolak permohonan tersebut sebelum ini.

Pada 30 April lepas, Che'gu Bard mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan mengeluarkan penerbitan menghasut berkaitan projek kasino di Forest City.

Artikel Berkaitan:

Beliau didakwa membuat penerbitan menghasut menerusi akaun Facebook miliknya dengan nama 'Che GuBard' di Mutiara Villa Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 6.30 petang, 26 April lepas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!