PM Slovakia, Robert Fico mangsa serangan politik?

Keadaan Robert Fico kritikal selepas ditembak pada jarak dekat. Foto Agensi
Keadaan Robert Fico kritikal selepas ditembak pada jarak dekat. Foto Agensi
A
A
A

BRATISLAVA - Dunia baru-baru ini digemparkan dengan berita mengenai insiden Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico yang ditembak oleh lelaki bersenjata sebanyak lima das pada jarak dekat hingga menyebabkan beliau cedera parah.

Difahamkan sehingga kini, Fico masih menerima rawatan lanjut, meskipun doktor melaporkan beliau berada dalam keadaan stabil.

Menurut laporan AFP, pasukan kesihatan ketika ini sedang bertungkus lumus merawatnya bagi membolehkan ahli politik berusia 59 tahun ini kembali mentadbir negara yang didiami 5.43 juta penduduk itu.

Jadi siapa sebenarnya Robert Fico?

Beliau ialah seorang pemimpin yang dikenali sebagai seorang berperwatakan kental selain mempunyai keupayaan luar biasa dalam arena politik Slovakia meskipun mempunyai sejarah skandal yang berulang.

Selain itu, beliau dilaporkan merupakan sekutu rapat kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Tambahan pula, Rico merupakan antara Perdana Menteri terlama di negara yang memperoleh kemerdekaan pada tahun 1993 itu.

Artikel Berkaitan:

Robert Fico. Foto Reuters
Robert Fico. Foto Reuters

Semasa memulakan karier politiknya, Rico pernah menyertai parti Komunis di negara berkenaan dan beliau seterusnya menubuhkan parti Smer pada akhir tahun 1999 dan mula memenangi pilihan raya tempatan sehingga berjaya dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun 2006.

Rico kemudiannya kembali menjadi pembangkang selama empat tahun setelah parti gabungannya kalah dalam pilihan raya, bagaimanapun beliau berjaya menjawat jawatan lamanya pada tahun 2012.

Atas sebab keselamatan, Fico akhirnya mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri setelah berlaku demonstrasi menuntutnya melepaskan jawatan terkait isu pembunuhan seorang wartawan yang berjaya mendedahkan isu rasuah ketika pemerintahannya.

Namun, pada Oktober 2023 beliau kembali menjawat jawatan Perdana Menteri Slovakia selepas menang pilihan raya dan setelah berjaya membentuk kerajaan dengan gabungan parti lain serta parti pimpinannya yang memperoleh undian sebanyak 23 peratus.

Kejayaan beliau menjawat semula jawatan berkenaan disebabkan faktor kebijaksanaanya mengambil peluang dalam isu sekatan semasa Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Selepas itu, beliau dilihat seolah-olah wira rakyat kerana menyuarakan keresahan orang ramai ketika penduduk Slovakia disekat oleh pemerintah semasa era pandemik itu.

Malah, beliau antara pemimpin yang lantang menentang usaha bantuan senjata oleh negara-negara Barat kepada kerajaan Ukraine.

Hal ini kerana beliau menyifatkan tindakan Barat itu akan membawa malapetaka besar kepada Ukraine selain tidak membawa sebarang 'persekitaran positif' antara Rusia dan Ukraine.

Dalam pada masa sama, Rico juga dikenali sebagai seorang yang lantang 'menyerang' Eropah, sambil bergiat aktif menyebelahi Rusia ketika menjalankan kempennya pada pilihan raya lalu.

Selain itu, beliau ketika memerintah acap kali membuat tindakan yang bersifat kontroversi seperti isu berhubung reformasi lembaga penyiaran awam negara tersebut.

Selepas menjawat jawatan nombor satu di Slovakia, antara usaha yang tidak disenangi ramai adalah beliau bertindak merombak beberapa institusi penting, antaranya memansuhkan pejabat pendakwa raya negara berkenaan.

Difahamkan antara punca pembunuhan ke atas beliau didorong oleh isu penutupan institusi penyiaran Slovakia, iaitu penyiar kebangsaan RTVS.

Semasa hari kejadian beliau ditembak, pembangkang telah merancang untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran berhubung tindakannya itu.

Bagaimanapun, demonstrasi itu segera dibatalkan setelah Rico ditembak.

Dorongan yang menyatakan Rico ditembak disebabkan rancangannya ini tidak dapat disahkan namun pemerhati politik percaya bahawa tindak tanduk Rico yang pro-Rusia selain dilihat memiliki banyak musuh politik antara pendorong utama beliau menjadi sasaran untuk menamatkan karier politiknya. - Agensi


INFO

- Memperoleh Ijazah Undang-Undang pada 1986

- Berkahwin dan memiliki seorang anak lelaki

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!