Sidang Kemuncak SDG pupuk kesedaran rakyat

Baidzawi (dua dari kiri) ketika Majlis Perasmian Penutupan Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2024 Wilayah Timur di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada Ahad.
Baidzawi (dua dari kiri) ketika Majlis Perasmian Penutupan Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2024 Wilayah Timur di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada Ahad.
A
A
A

KUALA NERUS - Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia 2024 Wilayah Timur berjaya memupuk kesedaran rakyat di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mengenai kepentingan projek-projek yang selari dengan matlamat SDG.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Baidzawi Che Mat berkata, penganjuran sidang kemuncak itu juga membuktikan komitmen dan pendirian ECERDC dalam menjadikan Pantai Timur sebuah wilayah yang dinamik serta berdaya saing bagi merealisasikan matlamat SDG.

Beliau berkata, setiap projek dan program ECERDC yang dibuat sebelum ini sentiasa mengutamakan aspek kelestarian, perlindungan alam sekitar serta pemeliharaan seni, budaya dan warisan.

"Bagi merealisasikannya, peranan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) amatlah penting dalam melaksanakan projek dan inisiatif SDG di peringkat komuniti tempatan.

"Selain itu, ahli akademik juga perlu memainkan peranan menerapkan pendidikan pembangunan mampan dalam kalangan warga universiti dan masyarakat bagi memastikan tidak ada rakyat yang tertinggal bagi membangunkan masa depan yang mampan, inklusif dan adil untuk semua rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2024 Wilayah Timur di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Baidzawi menyatakan, antara perkara yang dikupas oleh panel-panel sepanjang sidang kemuncak itu berlangsung adalah kepentingan memastikan aspek warisan dan kebudayaan tempatan selain pemuliharaan alam semula jadi dalam setiap projek pembangunan di Wilayah ECER.

Menurutnya, pendekatan ECERDC adalah termasuk mempromosikan tenaga hijau, kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan rekreasi (RV).

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, PlanMalaysia di Wilayah Timur juga memberikan tumpuan kepada rancangan pembangunan komprehensif melibatkan aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar serta menekankan pengurusan risiko bencana serta daya tahan, terutamanya di kawasan yang terdedah kepada banjir.

"Dari sudut pemerkasaan komuniti pula, warga yang terpinggir juga harus terus diberikan perhatian untuk memanfaatkan kemampuan dan kebolehan mereka dalam menyumbang kepada ekonomi tempatan," jelasnya.

Sidang kemuncak yang diadakan di UniSZA pada Ahad menarik lebih daripada 500 peserta dengan lima ucaptama, empat sesi perkongsian pakar serta bengkel oleh Youth Environmental Living Lab (YELL), sebuah program oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dengan kerjasama Amanah Lestari Alam (ALAM) dan Kesatuan Eropah (EU).

Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2024 terdiri daripada siri sidang kemuncak yang dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Koridor Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Ekonomi dan kerajaan negeri.

Ia telah dianjurkan mengikut wilayah dengan sidang pertama diadakan di Wilayah Selatan pada bulan Ogos tahun lepas, diikuti oleh Wilayah Utara, Sabah dan Sarawak serta yang terakhir di Wilayah Timur dengan pemilihan Terengganu sebagai tuan rumah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!