Angkat sumpah Exco Perak tetap diteruskan: MB

Ahmad Faizal (kanan) ketika melawat ruang pameran dan aktiviti yang disediakan sempena program Lestari Pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rokam hari ini.
Ahmad Faizal (kanan) ketika melawat ruang pameran dan aktiviti yang disediakan sempena program Lestari Pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rokam hari ini.
A
A
A

IPOH - Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perak yang tertangguh sejak Julai tahun lalu tetap akan diteruskan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bagaimanapun tiada tarikh khusus dapat diputuskan setakat ini kerana pihaknya belum mendapat perkenan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

"Insya ALLAH memang kena buat juga, tetapi saya tidak ada tarikh khusus untuk istiadat itu kerana perlu mendapat perkenan daripada Seri Paduka Sultan Perak.

"Saya tidak boleh untuk mengatakan apa-apa mengenainya lagi, serah sepenuhnya kepada perkenan baginda Sultan," katanya ketika ditemui pemberita pada program Lestari Pendidikan anjuran Pertubuhan Rakan Komuniti Pendidikan Perak (PRKPP) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rokam di sini hari ini.

Julai lalu, Sultan Nazrin menitahkan agar Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri yang dijadual pada 11 Julai, ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Istiadat itu dibuat setiap tahun bagi memperbaharui ikrar sebagai Exco kerajaan negeri.

Semalam, Sultan Nazrin berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada tiga ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak (ex-officio) di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Mereka ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Zul Azlan Abu Hassan dan Penasihat Undang-Undang negeri, Azmir Shah Zainal Abidin.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri telah meningkatkan jumlah peruntukan untuk program Back To School daripada 10,000 kepada 15,000 pelajar tahun ini.

"Ia adalah peningkatan sebanyak 50 peratus dalam usaha kita membantu meringankan beban ibubapa untuk persediaan penggal baru persekolahan tahun ini.

"Kita doakan semoga anak-anak pelajar yang telah menerima bantuan uniform dan peralatan sekolah termasuk di SK Sungai Rokam ini akan lebih bersemangat ke sekolah tahun ini," katanya.

Beliau turut memuji inisiatif digerakkan PRKPP sebagai badan sukarelawan membantu usaha kerajaan memperkasa pendidikan pelajar.

"Dalam hal ini, kerajaan negeri memerlukan sokongan dan dokongan masyarakat kerana peruntukan sahaja tidak memadai. Sebab itu kita amat berterima kasih kepada badan-badan sukarelawan yang tampil menganjurkan program yang sangat baik seperti hari ini," katanya.