Akaun 3 beri pilihan kepada pencarum, tindakan wajar - Pakar Kewangan

Akaun 3 memberikan kelebihan kepada pencarum untuk mengeluarkan wang bagi tujuan kecemasan. Foto fail Bernama
Akaun 3 memberikan kelebihan kepada pencarum untuk mengeluarkan wang bagi tujuan kecemasan. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk memberi pilihan kepada pencarum tidak memindahkan caruman mereka ke dalam Akaun 3 (Akaun Fleksibel) adalah satu langkah yang wajar, kata seorang pakar kewangan.

Pengasas dan perunding utama Hijrahwealth Management Sdn Bhd, Rohani Mohd Shahir berkata, sesuatu pembaharuan untuk memenuhi permintaan sebahagian pencarum tidak semestinya sesuai untuk semua orang, terutamanya dalam konteks pengenalan Akaun 3.

"Sekiranya pencarum memilih untuk tidak menggunakan Akaun 3, maka tidak ada pilihan baginya untuk mengeluarkan simpanan persaraan daripada akaun itu, termasuk ketika berlaku kecemasan.

"Seharusnya pencarum yang memilih pilihan itu (tidak memindahkan caruman ke dalam Akaun 3) sudah mempunyai akaun kecemasan lain, atau memang mengamalkan tabungan bulanan selain daripada akaun simpanan di KWSP," katanya kepada Bernama.

Rohani berkata, Akaun 3 memberikan kelebihan kepada pencarum untuk mengeluarkan wang bagi tujuan kecemasan tanpa perlu mendapatkan daripada saluran lain seperti ’Ah Long' atau pinjaman berlesen yang membebankan.

Bagaimanapun, katanya, pencarum perlu berdisiplin untuk tidak menyalahgunakan kemudahan itu bagi tujuan selain kecemasan kerana ia hanya akan merugikan mereka dan menjejaskan keperluan bagi persaraan kelak.

Pada Jumaat, Ketua Jabatan Strategi dan Polisi KWSP, Balqais Yusoff menerusi satu temu bual dengan sebuah portal berita memaklumkan KWSP memberikan pilihan kepada pencarum untuk tidak memindahkan caruman mereka ke dalam Akaun 3 sekiranya mereka tidak memerlukan kemudahan tersebut.

Menurutnya pencarum boleh membuat permohonan untuk membuat pindaan menerusi dalam talian bermula Jun atau Julai, namun sekiranya ingin melakukannya sekarang, mereka perlu berbuat demikian di cawangan KWSP.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu pensyarah kanan Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskanda,r Dr Azizul Azli Ahmad yang juga merupakan penulis buku kewangan 'Wang Ada Di Mana' berkata, individu berpendapatan rendah merupakan antara golongan yang wajar memanfaatkan penggunaan Akaun 3 untuk mendapat akses kewangan segera.

Selain itu, katanya, ibu bapa yang perlu membiayai kos pendidikan anak yang tinggi, atau individu yang terkesan pascapandemik Covid-19 atau kehilangan pekerjaan juga boleh menggunakan wang simpanan daripada Akaun 3.

"Kita tidak boleh keluarkan wang daripada akaun 1 sehingga mencapai usia 55 tahun, Akaun 2 pula mempunyai syarat yang ketat seperti untuk tujuan perumahan, kesihatan dan sebagainya.

"Jadi, Akaun 3 ini membenarkan pencarum mendapat akses kepada simpanan untuk keperluan yang mendesak, kegunaan peribadi dan sebagainya," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!