Team Xorn juara Jaguh All Star 2024

Team Xorn Foto: Gwen Stacy
Team Xorn Foto: Gwen Stacy
A
A
A

TEAM Xorn berjaya menumbangkan Team Yums, 3-0, untuk merangkul gelaran juara Jaguh All Star 2024, yang menghimpunkan bintang saingan Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang Malaysia (MPL), pada Sabtu.

Perlawanan grand final di Stadium Majlis Bandaraya Subang Jaya di Serdang Jaya menyaksikan Team Xorn mendominasi permainan pertama sehingga sukar digugat Team Yums.

Biarpun aksi lebih sengit berlangsung pada dua permainan berikutnya, Team Xorn yang diketuai jaguh pasukan HomeBois Mohammad Zul Hisham Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Xorn berjaya menyerap tekanan lawan untuk membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000 dalam saingan berlangsung hampir dua jam itu.

Terdahulu, Team Xorn mara ke final selepas menang tipis ke atas Team Rippo, 2-1, manakala Team Yums pula layak ke final apabila mengatasi Team Ciku, juga 2-1, pada peringkat separuh akhir.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Xorn yang turut dinamakan sebagai pemain paling bernilai pada final secara peribadi berpendapat Team Rippo lebih memberikan ancaman kepada mereka di separuh akhir berbanding persembahan dipamerkan Team Yums di grand final.

"Kunci kejayaan kami adalah kesemua pemain dalam pasukan saya memang mengejar peluang untuk meraih hadiah wang tunai yang amat lumayan pada pertandingan kali ini.

"Team Rippo pasukan yang benar-benar menyusahkan kami sehingga hampir menjejaskan peluang kami merebut wang tunai RM30,000. Walaupun Team Yums sepatutnya lebih kuat (di final) namun terbalik pula dan kami berasa nasib baik menang di separuh akhir," katanya.

Selaku naib juara, Team Yums membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala Team Rippo dan Team Ciku masing-masing meraih RM5,000. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!