SOP keselamatan jemaah di Tanah Suci patuhi ISO 9001 2015 perkhidmatan haji

SOP yang disediakan Lembaga TH berkaitan aspek keselamatan jemaah semasa di Tanah Suci adalah berlandaskan sistem pengurusan ISO 9001 2015 perkhidmatan haji. Gambar hiasan
SOP yang disediakan Lembaga TH berkaitan aspek keselamatan jemaah semasa di Tanah Suci adalah berlandaskan sistem pengurusan ISO 9001 2015 perkhidmatan haji. Gambar hiasan
A
A
A

MAKKAH - Prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan Lembaga Tabung Haji (TH) berkaitan aspek keselamatan jemaah semasa di Tanah Suci adalah berlandaskan sistem pengurusan ISO 9001 2015 perkhidmatan haji.

Pengarah Operasi Maktab Ibu Pejabat TH di Makkah, Khairoddin Ahmad berkata, ini merupakan prosedur yang perlu dipatuhi petugas untuk berdepan sebarang kemungkinan kejadian luar jangka seperti insiden kren tumbang dan rempuhan di Mina yang pernah berlaku sebelum ini.

Beliau berkata, sistem pengurusan yang sama juga akan digunakan oleh TH semasa operasi Masyair menjelang hari wukuf pada 15 Jun nanti.

"Ini termasuk daripada segi persiapan untuk membawa jemaah haji ke Arafah, Muzdalifah, Mina dan kembali semula dengan selamat ke penginapan di Makkah.

"Bagaimanapun untuk cabaran tersebut, bukan kami petugas di bahagian Maktab sahaja melaksanakan tugasan. Kami mendapat komitmen dan kolaborasi yang baik dari unit-unit peringkat Masyair, peringkat Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci (PIHTAS) dan unit-unit lain.

"Apabila kita ada kolobrasi dengan lain-lain unit dengan semua akan tertumpu di Masyair, kita akan ada kekuatan 106 anggota daripada peringkat operasi maktab termasuk PIHTAS selain pasukan daripada Jeddah serta Madinah yang akan membantu dari segi keselamatan serta pergerakan jemaah," katanya.

Dalam pada itu, Khairoddin berkata, terdapat 12 maktab meliputi 18 bangunan penginapan di Makkah dengan setiap maktab menempatkan 3,000 jemaah.

Menurut Khairoddin, pengurus antara orang yang dipertanggungjawabkan dalam memastikan keselesaan jemaah sebelum mereka sampai dengan memastikan segala keperluan mengikut standard yang ditetapkan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!