Tak timbul isu undi merosot, kata Azmin

Mohamed Azmin mengedarkan buah limau pada program Walkabout Tahun Baru Cina DUN Bukit Antarabangsa dan Parlimen Ampang di Pasar Pekan Ampang pagi tadi.
Mohamed Azmin mengedarkan buah limau pada program Walkabout Tahun Baru Cina DUN Bukit Antarabangsa dan Parlimen Ampang di Pasar Pekan Ampang pagi tadi.
A
A
A

AMPANG - Sokongan rakyat di Parlimen Kimanis terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak banyak berubah.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis semalam menunjukkan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang mendapat undi hampir sama seperti dalam pilihan raya lalu.

"Saya kira Yang Berhormat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Shafie Afdal dan pasukannya telah melakukan usaha yang terbaik dalam tempoh 20 bulan yang lalu.

"Namun oleh kerana isu legasi itu terlalu besar, mereka perlukan masa untuk meyakinkan rakyat Sabah bahawa masa depan Sabah dan rakyat negeri itu terletak pada kerajaan pimpinan Warisan pada hari ini.

"Kita melihat sokongan di Kimanis tidak banyak berubah daripada apa yang berlaku daripada pilihan raya lalu. Jadi tidak timbul isu kemerosotan undi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui program Walkabout Tahun Baru Cina Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa dan Parlimen Ampang di Pasar Pekan Ampang di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan memerlukan masa untuk meyakinkan rakyat di Kimanis memandangkan kawasan itu adalah luar bandar.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan Persekutuan akan memberi kerjasama baik kepada kerajaan Sabah di bawah pimpinan Warisan dalam usaha merapatkan jurang di antara bandar dan luar bandar.

Ketika ditanya mengenai ketidakhadiran beliau dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden parti itu menjelaskan bahawa beliau berada di Kimanis pada tarikh tersebut.

"Insya-ALLAH hadir (mesyuarat akan datang)," katanya.

PRK Kimanis semalam menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin menang dengan majoriti 2,029 undi apabila memperoleh 12,706 undi sementara Karim menerima 10,677 undi.

PRK Parlimen itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Anifah Aman pada pilihan raya umum 2018 selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal mematuhi prosedur pilihan raya yang sepatutnya.

Pada pilihan raya umum lepas, Anifah yang mewakili BN menang tipis dengan 156 undi majoriti selepas meraih 11,942 undi sementara Karim yang turut bertanding ketika itu meraih 11,786 undi.