Gelagat kanak-kanak 3 tahun sakan nyanyi lagu rock curi tumpuan

Tangkap layar hantaran video menerusi akaun @faakhaaa memaparkan gelagat Cik Bunga menyampai lagu Dipenjara Janji
Tangkap layar hantaran video menerusi akaun @faakhaaa memaparkan gelagat Cik Bunga menyampai lagu Dipenjara Janji
A
A
A

SHAH ALAM - Gelagat seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang menyanyikan sebuah lagu genre rock dengan penuh semangat di medan selera Gedabucks Foodies, Seremban mencuri tumpuan ramai.

Tular di media sosial satu video memaparkan adik Dayang Delisha Zahra atau Cik Bunga sedang bernyanyi lagu popular pada tahun 1996 bertajuk Dipenjara Janji oleh vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie.

Menerusi akaun @faakhaaa, hantaran tersebut telah mendapat 2.8 juta tontonan dan lebih 300,000 tanda suka daripada pengguna di TikTok.

Di ruangan komen, rata-rata netizen terhibur dan teruja melihat teletah Cik Bunga kebolehan menyampaikan lagu berkenaan mengikut tempo serta pic yang betul.

"Adik ini bukan lagu zaman awak adik, ini zaman mak ayah awak adik. Comel weh," kata pengguna @nahdyn98.

Begitu juga dengan @_apihhn, beliau menyifatkan kenyataan Awie yang mahu bersara dan meluangkan masa bersama keluarga dimakbulkan kerana sudah ada pengganti cilik.

Dalam pada itu, ibunya, Dayang Shafinaz Zulkipli, 30, memaklumkan bahawa abang kepada Cik Bunga iaitu Muhammad Danish Zafran, 9, juga mempunyai minat sama dalam bidang tersebut.

Artikel Berkaitan:

(Kanan) Dayang Shafinaz bersama Muhammad Danish Zafran dan Dayang Delisha Zahra.
(Kanan) Dayang Shafinaz bersama Muhammad Danish Zafran dan Dayang Delisha Zahra.

Jelas beliau, kemungkinan bakat yang diperoleh itu datang daripada arwah bapa mereka yang juga meminati bidang nyanyian.

"Arwah ayah mereka suka bernyanyi dan kebetulan sekarang tunang saya merupakan vokalis daripada Sniper Band dari Jelebu.

"Tambahan pula, keluarga saya memang suka meluang masa dengan melihat busking dan selalu sokong minat anak-anak terutamanya ibu serta ayah saya.

"Lagu pertama yang Danish nyanyikan adalah Tak Tun Tuang oleh Upiak Isil manakala lagu pertama Cik Bunga pula Harga diri daripada kumpulan Wali Band," jelasnya.

Mengulas lanjut Dayang Shafinaz berkata, beliau tidak pernah menentukan atau menghadkan minat anak-anak selagi ia tidak melampaui batas atau melalaikan.

Ujarnya, mungkin akan ada segelintir pihak yang memandang serong apabila melihat anak-anaknya dibiarkan menyanyi sejak kecil tetapi beliau yakin ia sekadar untuk memenuhi waktu terluang dengan melakukan hobi dan minat mereka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!