FIFA, AFC akan bantu Palestin - Hamidin

Hamidin pada Kongres AFC ke-34 semalam dan Kongres FIFA ke-74 di Bangkok. Foto Facebook FAM
Hamidin pada Kongres AFC ke-34 semalam dan Kongres FIFA ke-74 di Bangkok. Foto Facebook FAM
A
A
A

PERSEKUTUAN Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) akan memberi bantuan yang diperlukan oleh Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) susulan konflik Palestin dan Israel, menurut Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Hamidin yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, isu Palestin antara perkara utama dibincangkan dalam Kongres AFC ke-34 semalam dan Kongres FIFA ke-74 di Bangkok.

"Semua perwakilan AFC menzahirkan rasa sedih tidak terhingga atas kejadian yang berlaku di bumi Palestin yang telah banyak mengorbankan rakyat mereka termasuk juga pemain dan pegawai bola sepak serta petugas media,” kata Hamidin yang juga Ahli Majlis FIFA.

"Seain itu, Kongres AFC bersetuju menerima usul daripada beberapa ahli gabungan untuk memansuhkan peraturan mengehadkan presiden dan ahli jawatankuasa eksekutif kepada maksimum tiga penggal memegang jawatan. Maksudnya sekarang, tiada had ditetapkan," katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook FAM hari ini.

Pada Kongres AFC itu juga diperkenalkan satu set jenama dinamik empat pertandingan utama anjuran AFC iaitu AFC Champions League Elite (ACL Elite), AFC Women’s Champions League (AWCL), AFC Champions League Two (ACL Two) dan AFC Challenge League (ACGL).

Sementara itu, beliau memaklumkan, lima teras utama telah digariskan FIFA bagi menentang perkauman dalam bola sepak selepas mendapat sokongan 211 delegasi ahli gabungan selain memilih Brazil sebagai tuan rumah Piala Dunia Wanita 2027.

Beliau berkata, lima teras utama itu merangkumi Peraturan dan Hukuman, Tindakan Di Atas Padang, Pertuduhan Jenayah, Pendidikan dan Suara Pemain.

Dalam perkembangan lain, Hamidin memaklumkan Mattias Grafstrom secara rasminya dilantik sebagai Setiausaha Agung FIFA yang baharu menggantikan Fatma Samoura selepas menghadiri Mesyuarat Majlis FIFA Ke-28 kelmarin.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Majlis FIFA turut mengemaskini beberapa pertandingan antaranya edisi sulung Piala Dunia Futsal Wanita 2025 akan berlangsung di Filipina, Piala Dunia bawah 17 tahun (B-17) Lelaki akan berlangsung setiap tahun di Qatar dari 2025 hingga 2029 dengan Asia mendapat sembilan slot serta Piala Dunia B-17 Wanita berlangsung setiap tahun di Maghribi dari 2025 hingga 2029 dengan Asia mendapat empat slot.

"Sementara itu Piala Dunia Bola Sepak Pantai 2025 pula akan berlangsung di Seychelles. Selain itu, Majlis FIFA turut meluluskan beberapa peraturan baharu berkaitan pertandingan," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!