Jangan ganggu, biar polis teliti siasatan - FAM

Noor Azman
Noor Azman
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) meminta peminat dan penyokong bola sepak memberi ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan terhadap insiden yang berlaku ke atas tiga pemain baru-baru ini.

Malah, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berharap mana-mana pihak tidak membuat kenyataan yang boleh menghangatkan lagi situasi ketika ini sehingga mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan peminat sukan tanah air.

“Amat penting bagi sesebuah pasukan dan pengurusan mereka untuk tidak membuat kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai atau memulakan perbicaraan awam pada ketika insiden itu masih dalam siasatan pihak polis.

“Sebagai contoh, kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon yang secara berulang mendedahkan beliau dan beberapa pegawai Selangor FC telah menerima ugutan bahawa mereka mungkin bakal menjadi sasaran seterusnya.

“Ada juga kenyataan daripada Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa yang mendakwa apa yang berlaku ke atas tonggak Selangor FC, Faisal Halim seperti mahu membunuh kariernya.

“Jadi kita tidak mahu kenyataan terbuka seperti itu kerana ia secara tidak langsung akan menimbulkan pelbagai persepsi lebih buruk sehingga mengganggu siasatan pihak polis.

“Saya juga ingin menasihatkan pihak media, para peminat bola sepak mahupun penganalisis sukan agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang komen berkaitan hal ini,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Azman sekali lagi menyatakan FAM memandang serius dengan insiden yang berlaku ke atas Faisal, pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid dan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, apa yang lebih penting kita terlebih dahulu perlu mengakui bahawa ketiga-tiga insiden yang berlaku itu adalah di tempat awam dan bukannya di stadium atau kemudahan lain bawah kelolaan FAM.

“Sehingga hari ini, kita masih belum mengetahui sama ada kejadian yang berlaku ke atas ketiga-tiga pemain berkenaan ada hubung kait dengan bola sepak atau tidak.

“Jadi untuk bersikap adil kepada semua pihak terlibat, sebaik-baiknya biarlah kita memberi ruang kepada PDRM untuk terus melakukan siasatan tanpa ada sebarang gangguan,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau memberitahu, pihak polis sering memberikan perkembangan secara berkala kepada FAM mengenai usaha dan siasatan yang dijalankan mereka.

“Maka, kita harus memberikan kepercayaan kepada PDRM untuk melakukan siasatan secara menyeluruh sehingga pelaku yang terlibat dapat dibawa ke muka pengadilan.

“Sekali lagi saya mohon semua pihak bertenang sehingga keadaan kembali reda dan menyerahkan kepada kebijaksanaan pihak polis untuk melakukan siasatan dengan lebih efisien.

“Amat penting kita memahami FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) tidak mempunyai sebarang bidang kuasa untuk menyiasat ketiga-tiga insiden tersebut kerana semuanya berlaku di kawasan awam.

“Sebarang spekulasi tidak akan membawa kebaikan kepada bola sepak Malaysia. Tidak perlu lagi ada pihak mengaitkan insiden yang berlaku itu dengan keganasan dalam bola sepak sehingga merosakkan imej bola sepak Malaysia,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!