Syarikat gergasi sedia taja Euro Jerman 2024?

Rakyat Malaysia bakal dapat menyaksikan kemeriahan Euro Jerman 2024 apabila sebuah gergasi korporat negara bersedia untuk menaja penuh siaran langsung terbabit.
Rakyat Malaysia bakal dapat menyaksikan kemeriahan Euro Jerman 2024 apabila sebuah gergasi korporat negara bersedia untuk menaja penuh siaran langsung terbabit.
A
A
A

KEMERIAHAN Piala Eropah 2024 (Euro 2024) yang bakal menyingkap tirainya di Jerman bermula 14 Jun hingga 14 Julai depan difahamkan menarik perhatian beberapa gergasi korporat negara untuk menaja penuh siaran langsung terbabit bagi membolehkan rakyat Malaysia menyaksikannya secara percuma.

Menurut sumber, bagi tujuan itu satu surat tunjuk minat akan diserahkan kepada Kementerian Komunikasi serta Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Syarikat swasta telah menunjuk minat yang ingin mengambil tajaan Euro Jerman 2024, supaya RTM boleh beri kepada rakyat Malaysia menonton secara percuma daripada berbayar.

“Beberapa syarikat swasta mula menunjukkan minat dalam masa terdekat ini dan akan mengeluarkan surat tunjuk minat kepada RTM untuk menaja dan beli siaran ini yang sudah tentunya bukan murah.

“Ia sebenarnya dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan kerana selepas ini difahamkan Sukan Olimpik juga melibatkan kos tinggi bagi mendapatkan hak siaran langsung.

“Jika semuanya berjalan lancar, rakyat Malaysia kelompok B-40 boleh menikmati siaran percuma Euro Jerman 2024 di RTM sekali gus menyemarakkan bahang temasya bola sepak tersebut kali ini,” kata sumber terbabit.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sebelum ini dilaporkan bersedia mempertimbangkan untuk mendapatkan hak siaran Euro Jerman 2024, namun perlu merujuk perkara itu terlebih dahulu kepada Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman.

Malah beliau juga mengakui temasya itu mempunyai pengikutnya tersendiri, namun penelitian secara mendalam perlu dilakukan apabila bakal melibatkan kos yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Ujar sumber lagi, tajaan berkenaan cukup besar dan kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang kos untuk mendapatkan hak penyiaran itu.

“Syarikat gergasi Lembah Klang itu beri jaminan akan menampung kesemua kos dan bayaran hak penyiaran. Pihak kerajaan tidak perlu mengeluarkan langsung duit untuk mendapatkannya.

“Dana berkenaan boleh digunakan untuk tujuan pembangunan yang lain atau mendapatkan hak siaran Sukan Olimpik yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Saya percaya rakyat pastinya gembira dapat mengisi hari-hari sepanjang bulan Jun hingga Julai ini dengan menonton Euro 2024 secara percuma di saluran RTM,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!