531 cerun di seluruh negara masih belum dibaik pulih

Alexander ketika sidang akhbar selepas turun padang ke Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh pada Jumaat.
Alexander ketika sidang akhbar selepas turun padang ke Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh pada Jumaat.
A
A
A

TEMERLOH - Kementerian Kerja Raya memerlukan peruntukan RM387.38 juta bagi kerja-kerja baik pulih di 531 lokasi cerun yang masih belum dibaiki di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bencana alam seperti hujan, banjir menjadi antara punca cerun terlibat masih belum dibaiki.

Menurutnya, beberapa negeri yang memiliki kawasan tanah tinggi seperti Perak dan Pahang menghadapi masalah cerun.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu, peruntukan bagi kerja-kerja membaik pulih cerun di Jalan Persekutuan FT68 Kuala Lumpur–Bentong juga tidak mencukupi.

"Kita memerlukan RM51.5 juta di 53 lokasi yang telah dikenal pasti untuk keseluruhan Jalan Gombak-Bentong lama.

"Setakat ini, sebanyak tiga lokasi telah diluluskan untuk dibaik pulih iaitu di Seksyen 47.40 (RM931,000), Seksyen 42.90 (RM3.12 juta) dan Seksyen 57.50 (RM1.96 juta) dengan jumlah keseluruhan bernilai RM6.011 juta," ujarnya.

Sebelum itu, satu kejadian runtuhan cerun dan kejadian pokok tumbang telah berlaku di beberapa lokasi di Seksyen 40.00-48.00, Jalan Bentong Lama–Kuala Lumpur, dekat Bentong pada 25 November tahun lepas.

Kejadian disebabkan hujan lebat berterusan selama seminggu menyebabkan aliran air permukaan yang tinggi dan hakisan pada permukaan cerun.

Artikel Berkaitan:

Akibatnya, laluan tersebut telah terputus hubungan serta tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Kerja-kerja pembaikan telah dimulakan pada Februari 2024 untuk Seksyen 47.40 dan Seksyen 42.90 dan dijangka siap pada Oktober 2024 manakala Seksyen 57.50 telah dimulakan pada April 2024 dan dijangka siap pada Januari 2025.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!