Melaka United masih cari persefahaman pasukan

Ketua Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan
Ketua Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan
A
A
A

MELAKA United masih mencari rentak dalam mewujudkan persefahaman antara pemainnya menjelang aksi sebenar saingan Liga Malaysia (Liga M) yang bermula bulan depan.

Ketua Jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan berkata, beliau percaya menerusi sekurang-kurangnya lima perlawanan pramusim yang diatur mampu menjadi medan terbaik bagi membentuk barisan pemain yang mantap dan mempunyai keserasian.

"Pada perlawanan pertama pramusim, boleh nampak setakat ini persefahaman masih belum kelihatan dan saya telah jangka ia berlaku contohnya seperti pemain import baharu daripada Haiti, Sony Norde hanya sempat berlatih dua hari.

"Setakat ini kita boleh lihat ada ketikanya persefahaman menjadi dan ada kala tidak menjadi," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan persahabatan antara Melaka United dan UKM FC di Stadium Hang Jebat di sini malam tadi.

Dalam perlawanan itu, skuad Sang Kancil menewaskan UKM FC 2-0 menerusi dua pemain import mereka, Romel Morales pada minit ke-16 dan Jang Suk Won minit ke-74.

Zainal Abidin berkata, kini tugas pentingnya adalah menyatukan anak-anak buahnya bermain sebagai satu pasukan yang padu. - Bernama

Artikel Berkaitan: