Armada Bersatu selari MPP UiTM

Muhammad Faiz
Muhammad Faiz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpendirian menolak cadangan pembukaan kuota sementara kepada pelajar pascasiswazah bukan bumiputera bagi program 'parallel pathway'.

Penolong Setiausahanya, Muhammad Faiz Rahmad berkata, pihak Armada Bersatu senada dengan pandangan disuarakan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (MPP UiTM), Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) dan Kesatuan Kakitangan Umum (KKUUiTM) untuk menolak cadangan kemasukan yang telah diutarakan.

Beliau berkata, cadangan tersebut bercanggah dengan prinsip asas penubuhan UiTM di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan Akta 173 yang memberikan hak keistimewaan kepada kumpulan bumiputera antaranya dalam aspek pendidikan.

"Cadangan pembukaan kuota sementara kepada kumpulan bukan bumiputera, dilihat sedikit sebanyak mencabar dan tidak sensitif terhadap Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang telah diwartakan.

"Jika cadangan ini diteruskan pelaksanaannya, ia akan mewujudkan suatu dahuluan dan rekod kemasukan bukan bumiputera ke UiTM, seterusnya membuka ruang kepada permintaan yang sama pada masa akan datang meskipun cadangan ini melibatkan pembukaan kuota sementara," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Muhammad Faiz berkata, bagi menangani isu yang berbangkit membabitkan cadangan tersebut, Armada Bersatu mencadangkan pihak Jabatan Pengajian UiTM dan Institut Jantung Negara (IJN) melakukan penyumberan bakat dalam kalangan bumiputera termasuk pelajar dari Sabah dan Sarawak bagi mengisi kuota kemasukan program itu.

Tambahnya, pihak Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama dan bantuan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) boleh mempercepatkan proses pendaftaran, pembukaan dan kemasukan bagi program bidang yang sama.

Ini kerana jelasnya, cadangan pembukaan kuota sementara adalah disebabkan UM belum lagi membuka program bidang berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, pelajar pascasiswazah bukan bumiputera yang telah disenarai pendek untuk mengikuti bidang itu didaftarkan ke mana-mana institut pengajian tinggi yang lain dan menjalankan proses pembelajaran program bidang ini secara usahasama geran.

"Armada Bersatu ingin mengingatkan supaya semua pihak lebih berhati-hati dalam menyuarakan cadangan lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan sensitiviti dalam Perlembagaan Persekutuan," ujarnya.

Sungguhpun begitu, menurut beliau, Armada Bersatu melihat kepentingan sektor kesihatan negara untuk terus berkembang dengan penghasilan lebih ramai pakar dalam bidang-bidang kritikal seperti pembedahan kardiotraks.

Katanya, ia penting bagi memastikan mutu dan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan di Malaysia bertaraf global.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!