20 guru terima hadiah baju kurung batik

Ahmad Nor Farhan Fardani menyampaikan hadiah baju kurung batik kepada guru Bahasa Inggeris di SK Tengku Bariah, Kuala Terengganu pada Khamis.
Ahmad Nor Farhan Fardani menyampaikan hadiah baju kurung batik kepada guru Bahasa Inggeris di SK Tengku Bariah, Kuala Terengganu pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 20 pelajar kurang berkemampuan daripada dua buah sekolah di sini teruja apabila menghadiahkan guru kesayangan mereka sepasang baju kurung batik sempena Sambutan Hari Guru pada Khamis.

Impian mereka terlaksana selepas mendapat tajaan kotak hadiah daripada syarikat pengeluar dan pengedar batik sutera Bumiputera, Noor Arfa Batik.

Murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Bariah, Puteri Ayuni Balqis Muhammad Bahari, 10, berkata, dia bersyukur kerana dapat memberikan hadiah tersebut kepada guru Sainsnya, Nor Risah Aziz, 54.

Anak sulung daripada empat beradik itu menyifatkan peluang tersebut sebagai pengalaman berharga buat dirinya sempena sambutan Hari Guru tahun ini.

"Saya gembira dan bersyukur sangat sebab dapat hadiahkan cikgu saya sepasang baju kurung sempena Hari Guru tahun ini.

"Saya harap cikgu gembira dengan hadiah ini," katanya ketika ditemui sempena sambutan Hari Guru di sekolah berkenaan pada Khamis.

Seramai 10 murid kurang berkemampuan di SK Tengku Bariah, Kuala Terengganu menerima tajaan kotak hadiah untuk disampaikan kepada guru sempena sambutan Hari Guru pada Khamis.
Seramai 10 murid kurang berkemampuan di SK Tengku Bariah, Kuala Terengganu menerima tajaan kotak hadiah untuk disampaikan kepada guru sempena sambutan Hari Guru pada Khamis.

Seorang lagi murid, Ahmad Nor Farhan Fardani, 9, berkata, dia tidak menyangka tahun ini dapat menyediakan hadiah kepada guru Bahasa Inggeris, Rohaila Abdullah, 50.

Artikel Berkaitan:

"Kalau sebelum ini saya tak dapat sediakan hadiah sempena Hari Guru, tak sangka kali ini saya dapat peluang beri hadiah untuk raikan hari penting buat guru kesayangan.

"Saya harap hadiah ini dapat menggembirakan cikgu yang bersusah payah mengajar kami," ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Pemasaran Noor Arfa Batik, Wan Farhana Wan Tazilah berkata, seramai 20 pelajar daripada dua buah sekolah terpilih untuk menerima tajaan kurung pasang daripada syarikat tersebut.

"Selain SK Tengku Bariah, sebuah lagi sekolah yang menerima tajaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Negara.

"Setiap sekolah mendapat 10 kotak hadiah di mana tahun ini kita buat kelainan sikit, kita sediakan baju kurung seragam bertepatan dengan kempen seragam batik untuk penjawat awam," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!