Filem Lee Chong Wei satukan Tun M, Azmin

Syed Saddiq bersama buku hasil karyanya sendiri, Jalan Tegak.Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR
Syed Saddiq bersama buku hasil karyanya sendiri, Jalan Tegak.Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

PETALING JAYA - Filem Lee Chong Wei yang diterbitkan pada 2018 berjaya mendamaikan permusuhan lama antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang ketika itu Menteri Besar Selangor dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kedua-dua figura itu mempunyai beberapa isu berkenaan darjah kebesaran Dr Mahathir ditarik balik dan gesaan Mohamed Azmin dilantik menjadi Perdana Menteri.

Banyak kisah menarik yang dikongsi Syed Saddiq dalam bukunya, Jalan Tegak. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR
Banyak kisah menarik yang dikongsi Syed Saddiq dalam bukunya, Jalan Tegak. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR

“Berlaku tarik tali antara kedua-duanya kerana masing-masing tidak mahu menjadi yang pertama meminta bertemu. Jadi, saya berjumpa Tun Dr Siti Hasmah dan meminta beliau memujuk Tun menonton filem Lee Chong Wei.

“Di sebelah pihak Datuk Seri pula, saya bertemu isterinya, Datin Seri Shamsidar Taharin dan memintanya membawa suaminya menonton filem itu. Saya katakan kepada Tun bahawa Azmin mahu belanja mereka sekeluarga dan kepada Datin Shamsidar pula sebaliknya.

“Sedangkan hakikatnya saya terpaksa keluarkan wang sendiri. Akhirnya ketika pertemuan itu, mereka tidak fokus pada filem tapi berbincang isu politik. Tamat sahaja filem, semuanya pulih,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di sini pada Rabu.

Buku Jalan Tegak yang dihasilkan sendiri oleh Syed Saddiq mempunyai 368 halaman dan turut diselitkan gambar istimewanya sejak kecil sehingga penglibatannya dalam arena politik.

Jelas Syed Saddiq, buku itu juga menceritakan bagaimana kisah sebenar dirinya daripada menjadi penyokong setia Datuk Seri Najib Razak kepada 'orang penting' dalam gerakan menjatuhkan Perdana Menteri itu.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau turut berkongsi kisah sebenar di sebalik 'Sheraton Move', pemansuhan Biro Tatanegara (BTN) dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Undi 18, peranan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentukan kerajaan serta pandangan Tun Daim Zainuddin.

“Saya mengambil masa dua tahun menyiapkan buku ini untuk menterjemahkan 30 tahun jatuh bangun saya dalam sebuah buku.

“Dalam tempoh itu juga, banyak benda dan perkara terjadi. Ada kawan jadi lawan, ada juga yang sama-sama melawan. Semuanya diceritakan dalam buku ini.

“Saya telah melakukan kesilapan dan kejayaan. Semua ini dikongsi dengan harapan ia mengajar kita satu pelajaran berharga,” jelasnya.

Buku Jalan Tegak hasil nukilan Syed Saddiq. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR
Buku Jalan Tegak hasil nukilan Syed Saddiq. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR

Diterbitkan oleh Grup Buku Karangkraf, buku Jalan Tegak berharga RM39 sudah boleh ditempah melalui laman web www.karangkrafmall.com atau melalui TikTok Kedai Karangkraf dan Karangkraf Mall Official di Shopee.

Sebanyak 200 pembeli terawal akan menerima poskad Jalan Tegak, fail khas dan buku ditandatangani Syed Saddiq.

Naskhah itu akan dilancarkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2 Jun depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!