Kyrgyz zahir hasrat Malaysia lantik penasihat kepada kerajaan republik itu - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Republik Kyrgyz Sadyr Japarov (kanan) ketika sidang media bersama selepas menandatangani kenyataan bersama pada pertemuan empat mata sempena lawatan rasmi dua hari ke republik itu di Kediaman Negeri Ala Archa, pada Rabu. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Republik Kyrgyz Sadyr Japarov (kanan) ketika sidang media bersama selepas menandatangani kenyataan bersama pada pertemuan empat mata sempena lawatan rasmi dua hari ke republik itu di Kediaman Negeri Ala Archa, pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

BISHKEK - Republik Kyrgyz hari ini menzahirkan hasrat supaya Malaysia melantik seorang penasihat kepada kerajaan negara itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, hasrat itu dizahirkan oleh rakan sejawatnya Pengerusi Menteri-Menteri Kabinet Republik Kyrgyz Akylbek Zhaparov pada pertemuan mereka di Kediaman Negara Ala Archa di sini petang tadi.

"Beliau kalau boleh minta supaya (kita) melantik seseorang yang boleh menjadi penasihat kepada kerajaan (Republik Kyrgyz). Itu tahap penghormatan dan pengiktirafan mereka kepada kerajaan Malaysia.

"... maknanya, apabila hendak berunding tentang soal seperti penswastaan, projek-projek hidro, lebuh raya atau penggalian emas umpamanya, mereka minta kalau boleh kita beri nasihat dan (kongsi) pengalaman kita untuk bantu,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian kepada media Malaysia pada sidang akhbar sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke republik itu atas jemputan Presiden Sadyr Zhaparov.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, hasrat kerajaan Republik Kyrgyz itu akan dibincang pada mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.

Perdana Menteri juga berpandangan lantikan seorang penasihat itu bukan hanya bersifat hubungan dua hala tetapi juga memberi peluang kepada pelabur dari Malaysia memandangkan terdapat pelbagai bidang kerjasama untuk diterokai antara kedua-dua negara.

Beliau juga berkata, antara perkara yang menarik perhatian negara itu terhadap Malaysia ialah sektor halal dan Lembaga Tabung Haji kerana Republik Kyrgyz amat berminat untuk mengetahui secara terperinci tentang pengurusan haji dan pentadbiran badan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Anwar berkata, Republik Kyrgyz, dengan majoriti penduduk Islam yang dahulunya adalah sebahagian daripada Kesatuan Soviet, sangat menghormati Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan berminat untuk mengikuti beberapa kaedah pelaksanaan serta pembaharuan yang dilakukan oleh negara ini.

Menyentuh mengenai pelancongan, Perdana Menteri berkata, sektor itu amat berpotensi untuk diperkasa antara Malaysia dan Republik Kyrgyz memandangkan kedua-dua negara mempunyai tarikan tersendiri.

"Republik Krygyz mempunyai kawasan pergunungan manakala (rakyat) mereka sangat berminat dengan hutan dan pantai di negara kita," katanya.

Anwar berkata, kerajaan negara itu juga memohon supaya pelajarnya diberikan lebih banyak peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Malaysia.

Ditanya mengenai lawatan rasmi beliau ke negara-negara di Asia Tengah yang turut meliputi Kazakhstan dan Uzbekistan selepas ini, Perdana Menteri berkata rantau itu mempunyai potensi besar dalam aspek usaha sama untuk diterokai.

"Ada kepentingan strategik di sini. Pertamanya ia ada kekuatan, dekat dengan Rusia dan China. Kepintaran dan pandangannya membantu kita sebagai negara yang membangun," kata beliau.

Mengulas mengenai kerjasama dengan Republik Kyrgyz yang terjalin sejak 1992, Anwar berkata sudah tiba masanya kerjasama itu diperkasa kerana ia memberi faedah kepada Malaysia. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!