X

Kindly register in order to view this article
!

Trump lantik pasukan pembela hebat

pasukan undang-undang bela Trump
Starr (kiri) dan Dershowitz dilantik menyertai pasukan undang-undang untuk membela Trump ketika perbicaraan berhubung pemecatannya di Senat. - Foto Agensi
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam melantik pasukan undang-undang hebat iaitu bekas penasihat bebas, Ken Starr dan peguam terkenal, Alan Dershowitz untuk mempertahankan beliau yang bakal menghadapi perbicaraan berhubung pemecatannya di Senat bermula Selasa ini.

Starr merupakan bekas hakim persekutuan yang memegang jawatan kanan Jabatan Kehakiman ketika di bawah pentadbiran bekas Presiden George HW Bush.

Beliau juga menjadi individu bertanggungjawab yang menyebabkan penyingkiran Bill Clinton pada tahun 1999 yang diputuskan Senat menerusi laporan lengkap berhubung skandal bekas Presiden terbabit dengan pelatih Rumah Putih, Monica Lewinsky.

Ketika itu, Starr mengemukakan 11 alasan yang mencadangkan pemecatan Clinton.

Sementara itu, Dershowitz merupakan tokoh terkenal dalam kalangan pasukan undang-undang AS selama beberapa dekad dan pernah menyertai pasukan digelar 'Dream Team' yang memenangi kes melibatkan bintang bola sepak Amerika, OJ Simpson yang berdepan tuduhan membunuh isteri dan rakan mangsa.

Sebelum ini, antara klien yang menggunakan khidmat beliau termasuk peninju terkenal, Mike Tyson dan televangelist, Jim Bakker.

Pasukan terbabit akan diketuai Penasihat Rumah Putih, Pat Cipollone dan peguam peribadi bilionair hartanah terbabit, Jay Sekulow.

Selain itu, penasihat Trump dan bekas Peguam Negara Florida, Pam Bondi serta bekas penasihat bebas, Robert Ray juga terlibat untuk membela Presiden ke-45 AS terbabit.

Perbicaraan tersebut diadakan selepas Dewan Perwakilan sebulat suara mengundi untuk memecat Trump yang berdepan dua tuduhan iaitu menyalahgunakan kuasa dan menghalang siasatan Kongres pada 18 Disember lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Senat bakal tentukan nasib Donald Trump

Langkah itu dibuat selepas satu siasatan mendapati Trump meminta campur tangan Ukraine untuk menyiasat pesaing beliau, bekas Timbalan Presiden AS, Joe Biden dalam Pilihan Raya Presiden AS 2020 pada 3 November depan.

Trump berulang kali menafikan beliau melakukan sebarang kesalahan dan menyifatkan proses untuk memecatnya sebagai satu 'penipuan besar'. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus