Atlet kayak, Siti Nurul Masyitah masih di ICU

Atlet kayak (kiri), Siti Nurul Masyitah Md Elias, 22, yang cedera parah selepas dilanggar pemandu mabuk, kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta.
Atlet kayak (kiri), Siti Nurul Masyitah Md Elias, 22, yang cedera parah selepas dilanggar pemandu mabuk, kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Atlet kayak Siti Nurul Masyitah Md Elias, 22, yang cedera parah selepas dilanggar pemandu mabuk, kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta, di sini.

Abangnya, Muhamad Syafiq, 29, berkata adiknya itu telah selesai menjalani pembedahan tulang pelvis dan bahu kanan semalam, dan berada dalam keadaan stabil.

"Dua pembedahan tersebut dilakukan sekali gus dan doktor beritahu pembedahan akan datang adalah untuk pembedahan plastik, sebab kulit adik tidak boleh diambil dari anggota badannya yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di hospital itu di sini pada Rabu.

Beliau berkata, kemalangan berlaku ketika adiknya dalam perjalanan ke pusat latihan di Persatuan Kanu Negeri Johor, Bakar Batu di Johor Bahru.

Sementara itu ibu atlet tersebut, Saloma Ramli, 58, berharap agar anak kelimanya itu mendapat pembelaan, selepas cedera parah akibat dilanggar pemandu mabuk.

Ibu lapan anak itu yang patah tulang belakang akibat jatuh motosikal pada 21 April, berkata Siti Nurul Masyitah merupakan seorang anak yang rajin dan sering membantu merawatnya.

"Saya amat sedih dengan kemalangan yang menimpanya dan harapan saya, pelaku tersebut diambil tindakan yang sewajarnya oleh pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Mad Shah yang turut melawat atlet tersebut berkata kerajaan negeri, akan terus memantau perkembangannya selain membantu dari segi rawatan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor juga bersedia untuk menampung kos pembelajarannya untuk masa hadapan.

"MSN memaklumkan akan tampung kos pembelajaran selepas beliau sihat sedia kala, kita ada peruntukan khas untuk pembelajaran atlet termasuk untuk menyambung diploma dan ijazah,” katanya.

Siti Nurul Masyitah merupakan pelajar semester keenam Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan) Politeknik Ibrahim Sultan (Politeknik Ibrahim Sultan) dan merupakan salah seorang atlet kayak dan Dragon Boat Malaysia, yang telah memenangi pingat gangsa Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Beliau yang menunggang motosikal, dilanggar dari belakang oleh sebuah Toyota Vios pada Sabtu lepas kira-kira 4.30 petang di kilometer 3.5 Lebuhraya EDL menghala ke Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat dalam kenyataan berkata akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan retak bahu kanan, tulang pinggul dan luka di bahagian kaki, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, pemandu lelaki berusia 30-an yang positif alkohol itu, telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!