Warga emas rayu kesan anak OKU hilang sehari sebelum Aidilfitri

Limah menunjukkan gambar anaknya yang hilang sehari sebelum Aidilfitri. Gambar kecil: Wan Hizani
Limah menunjukkan gambar anaknya yang hilang sehari sebelum Aidilfitri. Gambar kecil: Wan Hizani
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang warga emas merayu orang ramai untuk membantu mengesan anaknya yang hilang sejak lebih sebulan lalu.

Limah Sulong, 66, berkata, anaknya, Wan Hizani Wan Nilam, 43, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental tidak pulang ke rumah mereka di Kampung Bukit Petiti, Manir di sini, selepas keluar sehari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri pada 9 April lalu.

Menurutnya, ketika itu anaknya keluar dari rumah dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam untuk mengisi minyak percuma yang ditawarkan.

"Saya sudah buat laporan polis selepas seharian dia tak balik rumah. Saya bimbang juga sebab sebelum ini dia tak pernah berkelakuan macam ini.

"Saya harap dan berdoa supaya tak ada sesuatu yang buruk menimpa dia," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.

Menurut Limah, mereka sekeluarga telah mencari Wan Hizani merata tempat di kawasan kampung termasuk kampung berdekatan, namun gagal menjejakinya.

Katanya, dia juga menerima panggilan telefon mendakwa ada ternampak anaknya itu di sekitar bandar Kuala Terengganu.

"Dah puas kami cari dia merata-rata tempat sampai ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Nerus.

Artikel Berkaitan:

"Bila ada orang telefon beritahu ternampak dia, kami akan cari. Ada kata nampak dia di Chendering, kami pergi ke Chendering, Komplek Sri Kolam, Kampung Tiong, Batu Buruk, semua sudah cari tapi tak jumpa," katanya.

Selain itu, Limah berkata, mereka sekeluarga turut memeriksa mana-mana klinik kesihatan dan hospital, namun tiada sebarang maklumat diperoleh setakat ini.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai Wan Hizani boleh hubungi talian 014-5032076 atau melaporkan di balai polis berdekatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!