Persatuan sukan perlu pastikan atlet dilindungi PERKESO - Adam Adli

Adam Adli. Foto Bernama
Adam Adli. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggesa semua persatuan sukan memastikan atlet bernaung di bawahnya mendapatkan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata perlindungan sosial khususnya menerusi PERKESO amat penting bagi memastikan golongan atlet dilindungi dari semua aspek.

Menurutnya, atlet dibawah Majlis Sukan Negara (MSN) ketika ini telah mendapatkan perlindungan PERKESO sekali gus ia wajar menjadi galakan kepada persatuan sukan untuk turut mengambil langkah sedemikian.

"Persatuan (sukan) kita sangat galakkan (carum PERKESO) dan ada perjumpaan PERKESO diminta hadir beri penerangan skim yang boleh dinikmati para atlet.

"Ramai atlet perlu segera jadi pencarum dan persatuan sukan mainkan peranan untuk galakkan pencaruman kepada atlet bernaung di bawah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Flag-Off kayuhan solo Khairil Aslan Ab Rasid mengelilingi Semenanjung Malaysia bagi latihan pertama Ice Storm Russia Expedition 2025 di sini pada Rabu.

Portal berita tempatan sebelum ini melaporkan terdapat majikan dalam kalangan kelab bola sepak yang culas mencarum dengan PERKESO.

Menurut laporan itu, rekod pendaftaran dan pembayaran caruman persatuan serta kelab bola sepak kebiasaannya adalah tidak teratur.

Artikel Berkaitan:

Adam Adli berkata, beberapa insiden menimpa atlet misalnya pemain sayap sensasi Harimau Malaya dan Selangor FC Muhammad Faisal Abdul Halim perlu dijadikan peringatan supaya golongan atlet mendapat perlindungan sosial.

"Golongan atlet tidak kira atlet apa perlu menitikberatkan perlindungan sosia tidak kira mereka dalam bidang sukan berisiko tinggi atau lain-lain,” katanya.

Pada 5 Mei lepas, Faisal Halim mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya yang membataskan pergerakan dan percakapannya.

Mengenai insiden menimpa atlet kayak negara Siti Nurul Masyitah Elias yang dilaporkan terbabit dalam kemalangan jalan raya, Adam Adli berkata, KBS akan membantu atlet berkenaan untuk mendapatkan rawatan.

"Kita sedang mendapatkan maklumat terperinci mengenai kejadian itu dan keadaan atlet,” katanya.

Siti Nurul Masyitah dipercayai dilanggar dan diseret sejauh 600 meter oleh seorang pemandu mabuk dalam kemalangan pada Sabtu lepas di Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) menuju ke Southkey, Johor Bahru. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!