Malaysia mahu rebut insentif transformasi digital Qatar, kerjasama sektor AI - PM

Anwar (kiri) pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Qatar pada Selasa. Foto Bernama
Anwar (kiri) pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Qatar pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

DOHA - [DIKEMAS KINI] Malaysia mahu meneroka potensi kerjasama bersama Qatar dalam sektor kecerdasan buatan (AI), sekali gus merebut insentif transformasi digital berjumlah 9 billion Qatar riyal (RM1=0.77 sen Qatar) yang diumumkan negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman insentif berkenaan amat disambut baik, yang dilihat selari dengan hasrat kerajaan dalam memperkasakan sektor AI di Malaysia.

"Ya, tumpuan kita adalah bekerjasama dengan Qatar dalam bidang AI. Contohnya, Qatar mempunyai institut penyelidikan AI.

"(Justeru) saya telah minta (Menteri Pendidikan Tinggi) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir supaya ambil tindakan susulan dengan rakan sejawatnya iaitu Menteri Pendidikan Qatar," katanya kepada wartawan Malaysia pada sidang media bagi mengakhiri siri lawatan beliau ke negara Asia Barat itu, pada Selasa.

Terdahulu pagi ini, Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani ketika Forum Ekonomi Qatar mengumumkan insentif transformasi digital bernilai kira-kira sembilan bilion riyal Qatar untuk ditawarkan, termasuk dalam bidang AI.

Anwar, yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata, antara bentuk kerjasama AI yang boleh dimeterai dengan Qatar adalah dalam pendidikan dan juga pelaburan.

Mengulas mengenai hasil lawatan singkat beliau ke Qatar, Perdana Menteri berkata, keyakinan syarikat negara itu terhadap keupayaan Malaysia telah berjaya menjana potensi eksport bernilai RM700 juta.

Justeru, beliau optimis perdagangan dua hala antara kedua-dua negara akan melepasi jumlah yang dicapai pada tahun lepas, susulan trend kenaikan yang positif.

Artikel Berkaitan:

"Dalam tiga bulan ini, kerana dorongan daripada kerajaan Qatar juga, peningkatan perdagangan (meningkat hampir 180 peratus).

"Kedua-dua pemimpin (Qatar) Amir Qatar (Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani) dan Perdana Menteri (Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani), selain menteri-menteri (Qatar) yang menemui rakan menteri saya, beri jaminan bahawa jumlah ini akan jauh lebih meningkat dari segi perdagangan, pelaburan dan kerjasama," kata beliau.

Pada tahun lepas, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Qatar mencecah RM4.2 bilion.

Dalam tempoh Jan hingga Mac tahun ini, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara itu meningkat 178.4 peratus kepada RM1.43 bilion (AS$303.9 juta) berbanding RM514.9 juta (AS$116.7 juta) pada tempoh yang sama 2023.

Setakat tahun lepas, Qatar merupakan rakan dagang kelima terbesar Malaysia, destinasi eksport keenam terbesar dan sumber import keenam terbesar dari rantau Asia Barat.

Anwar, yang mengakhiri rangka lawatan rasmi ke Qatar hari ini, dijadualkan berangkat ke Republik Kyrgyz dengan menaiki pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha, di sini, petang ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!