Otai KKB, Kesukep bakal berentap

Otai KKB ini akan kembali ke gelanggang bertemu Kesukep dalam satu aksi perlawanan persahabatan. Gambar kecil: Jamal
Otai KKB ini akan kembali ke gelanggang bertemu Kesukep dalam satu aksi perlawanan persahabatan. Gambar kecil: Jamal
A
A
A

KUALA KUBU BHARU - Suatu ketika dahulu pada era 90-an daerah Hulu Selangor aktif dalam melahirkan bakat-bakat baharu dalam sukan sepak takraw sehingga mewakili negeri dan kebangsaan.

Gelanggang sepak takraw Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menjadi saksi pemain-pemain seperti Jamal Bomba, Mael Soeharto, Allahyarham Suriram, Zaidi JBA, Zahar Tekong, Hamid Gulung, Jusry Rick, Andi Rashid, Raja Mahmud dan sebagainya mempamerkan kehebatan mereka.

Nama-nama ini cukup digeruni pihak lawan setiap kali mereka tampil dalam kejohanan-kejohanan yang dianjurkan di dalam dan di luar daerah Hulu Selangor.

Zaman telah berlalu, gelanggang tersebut kini diwarisi oleh generasi muda dan nama-nama yang disebut itu juga telah bersara daripada sukan sepak takraw.

Namun untuk mengembalikan nostalgia itu, otai KKB ini akan kembali ke gelanggang bertemu Kelab Sukan dan Kebajikan Paroi (Kesukep) dalam satu aksi perlawanan persahabatan.

Jika sebelum ini kemasyhuran dan kejaguhan mereka mungkin sekadar didengar daripada mulut orang, peminat sepak takraw boleh menyaksikan sendiri aksi mereka Ahad, 13 Januari ini jam 5 petang.

Mungkin sudah dipanjat usia, barang kali servis, umpanan dan libasan mereka tidak selincah dan setangkas dulu tetapi penangan orang lama yang berpengalaman luas masih mempunyai bisa dan sentuhan yang sukar dimiliki generasi pemain kemudiannya.

Menurut Jamal Bomba atau nama sebenarnya, Abdul Jamal Ibrahim, 56, perlawanan persahabatan ini adalah untuk mengembalikan nostalgia zaman kegemilangan sepak takraw di KKB.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang baharu bersara dari Jabatan Bomba itu berkata, sepak takraw mempunyai kelompok peminat yang tersendiri dan sukan tradisi ini pernah menjulang nama Hulu Selangor dalam kejohanan-kejohanan dianjurkan.

"Bekas jurulatih negara Haris Abdul Rahman pernah membimbing pasukan sepak takraw Hulu Selangor," kata Jamal yang pernah bertugas di Maktab Bomba KKB.

Jamal berkata, idea untuk mengadakan perlawanan persahabatan antara otai KKB dengan Kesukep timbul ketika majlis reunion baru-baru ini.

"Seramai 12 pemain Kesukep akan menguji kehebatan otai KKB. Pemain paling veteran yang akan beraksi pada perlawanan persahabatan berusia 72 tahun dan beberapa pemain muda untuk memberikan mereka pengalaman," katanya.

Justeru beliau berharap agar pentas perlawanan persahabatan nanti akan menyemarakkan lagi sukan sepak takraw dalam kalangan generasi muda.